My Add

Sunday 26 August 2012

Persoal DAP Pulau Pinang

*NAJIB Tun Razak berkata sesuatu kepada Dr. Mahathir Mohamad pada majlis Rumah Terbuka Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Rosmah Mansor. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Ogos, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan DAP Pulau Pinang mahu membentangkan undang-undang anti lompat parti sebagai satu bentuk menyekat kebebasan seseorang individu itu.

Sambil mempersoalkan tindakan tersebut, tegas Dr. Mahathir, undang-undang itu tidak perlu memandangkan pergolakan dalaman parti bukan hanya berlaku di pihak DAP malah UMNO, Pas dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pergolakan dalaman parti memang berlaku. Dalam UMNO ada, Pas ada, Keadilan (PKR) ada, DAP pun ada. Sebab itu dia (DAP) nak buat undang-undang anti lompat.

"Tapi undang-undang itu tak kena kerana kita bebas. Kita nak liberal, boleh cakap apa-apa. Itu kebebasan kita. Pasal apa nak sekat kebebasan orang yang nak lompat (parti)," kata beliau.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di kediaman mereka di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengulas keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membentangkan undang-undang anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung November ini.

Menjawab soalan mengenai permohonan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengemukakan sapina kepada beliau supaya hadir ke mahkamah sebagai saksi perbicaraan kes hasutan ketika perdebatan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993, katanya, beliau bersedia untuk disapina.

"Boleh dia (Karpal) nak sapina. Tapi undang-undang yang kita luluskan adalah berkenaan dengan tindakan raja-raja Melayu luar daripada tugas rasmi mereka (baginda). Dalam tugas rasmi mereka, kita tak boleh ambil tindakan.

"Hanya kalau mereka bertindak di luar daripada tugas rasmi dan menyalahi undang-undang, barulah boleh ambil tindakan. Bukan sebarang tindakan boleh diambil," tegasnya.

Beliau turut meminta Karpal menunjukkan hansard sewaktu debat pindaan Perlembagaan itu yang merujuknya melakukan hasutan.

"Mengapa nak serang saya? Saya sudah tiada kuasa. Inilah mereka yang selalu mendahului politik kebencian.

"Pembangkang cipta kebencian terhadap kerajaan. Apa yang baik dilakukan kerajaan, mereka lupa.

"Mereka menang kerana faktor kebencian itu. Contohnya kita berjaya atasi krisis ekonomi. Mengapa ia tidak disebut mereka? Tetapi sudah tentu (kalau sebut) rakyat tak akan benci kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau kesal kerana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) gagal berfungsi dengan baik dalam menangani isu di Syria. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment