My Add

Friday 24 August 2012

Siasatan isu Rohingya bermula


*SURUHANJAYA yang ditubuhkan oleh kerajaan Myanmar untuk menyiasat keganasan etnik di Rakhine mengadakan mesyuarat pertama mereka di Yangon pada Ahad lalu. - AGENSI

DHAKA, KHAMIS 23 Ogos, 2012: Suruhanjaya khas yang ditubuhkan untuk menyiasat keganasan agama dan etnik di Rakhine, barat Myanmar kini dalam perjalanan ke negeri itu untuk memulakan siasatan.

Kerajaan Myanmar menubuhkan suruhanjaya itu pada minggu lalu untuk menyiasat punca keganasan etnik di Rakhine, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 77 orang terkorban, selain mencari penyelesaian dan mengemukakan laporan hasil siasatan mereka kepada kerajaan pada 17 September ini.

"Kami akan meluangkan masa selama dua hari di Rakhine untuk mendapatkan maklumat sebenar dan mendengar sendiri rintihan etnik Rohingya," kata Zarganar, seorang aktivis yang dilantik menjadi ahli suruhanjaya itu, yang dianggotai 27 orang.

Suruhanjaya itu ditubuhkan ekoran peningkatan kecaman daripada negara-negara Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia bahawa tentera membenarkan atau menyokong etnik Buddha Rakhine menyerang komuniti Islam Rohingya.

Sementara itu, Human Rights Watch hari ini mengecam Bangladesh kerana mengamalkan sekatan 'kejam' bagi penghantaran bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan etnik di Myanmar.

Bangladesh pada bulan lalu mengarahkan tiga badan amal antarabangsa, Doktor Tanpa Sempadan, Tindakan Menentang Kelaparan dan Bantuan Islam, menghentikan saluran bantuan kepada Rohingya kerana ia menggalakkan kemasukan pelarian baru.

"Bangladesh cuba membuat keadaan pelarian Rohingya di negara itu menjadi lebih teruk supaya tidak menggalakkan kemasukan pelarian baru dari Myanmar.

"Ini adalah kejam dan dasar tidak berperikemanusiaan yang sepatutnya ditarik balik dengan segera," kata pengarah dasar pelarian HRW, Bill Frelick.

Menurut HRW, Dhaka telah menandatangani Perjanjian Antarabangsa bagi Ekonomi, Sosial dan Hak Budaya yang melarang negara itu menafikan rakyat dari negara sempadannya, termasuk pelarian, daripada mendapatkan makanan serta rawatan. - DPA/AFP

No comments:

Post a Comment