My Add

Friday 24 August 2012

Penduduk Syria berdepan keganasan ‘dahsyat’

BEIRUT, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Amnesty International hari ini berkata, penduduk awam Syria di bandar komersial Aleppo berdepan keganasan ‘dahsyat’ ekoran pertempuran yang tercetus antara tentera kerajaan dan pemberontak.

Pertubuhan antarabangsa itu turut mengecam tentera Syria yang didakwa melancarkan serangan secara semborono sehingga mengorbankan banyak orang awam.

Penasihat Tindak Balas Krisis Amnesty International yang baru kembali dari Aleppo, Donatella Rovera berkata, tentera Syria menggunakan senjata yang tidak bersesuaian seperti bom tanpa arah, bedilan meriam dan mortar, sekali gus membahayakan orang awam.

Beliau yang telah menyiasat kira-kira 30 serangan ketika lawatannya ke Aleppo, baru-baru ini berkata, ramai orang awam yang tidak terlibat dengan pertempuran itu, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, terkorban atau cedera ketika berada di rumah atau sedang beratur mengambil makanan di pusat perlindungan.

Menurutnya, serangan tentera selalunya gagal membezakan antara pemberontak dan penduduk awam serta selalunya dilancarkan secara rawak di kawasan kediaman yang dikuasai pemberontak.

“Orang awam di beberapa daerah di bandar Aleppo berdepan serangan meriam dan udara setiap hari yang dilancarkan oleh tentera kerajaan.

“Kebanyakan mereka, tidak ada lagi tempat selamat dan terpaksa hidup dalam ketakutan menanti serangan seterusnya," kata Rovera.

Beberapa orang awam turut terbunuh di tempat mereka mendapatkan perlindungan, selepas terpaksa meninggalkan kediaman ekoran pertempuran tersebut.

Menurut Amnesty, kebanyakan mangsa terbunuh akibat serangan udara dan bedilan meriam oleh tentera kerajaan.

Lebih 23,000 orang maut sejak tercetusnya kebangkitan rakyat di Syria pada Mac tahun lalu, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia. - AFP

No comments:

Post a Comment