My Add

Monday 6 August 2012

Syabas sangkal dakwaan gagal selenggara rumah pam

KUALA LUMPUR, ISNIN, 06 Ogos, 2012: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Syabas gagal menyelenggara rumah pam di Taman Putra Budiman, Balakong sehingga menyebabkan masalah gangguan bekalan air di sekitar kawasan itu serta Seri Kembangan.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ir Lee Miang Koi berkata masalah bekalan berpunca daripada pengeluaran dari Loji Rawatan Air Sungai Langat yang tidak dapat menampung jumlah permintaan air dari Kolam Cheras High Level.

"Kerosakan instalasi rumah pam Taman Putra Budiman tidak mempunyai kaitan dengan masalah gangguan bekalan air yang berlaku sejak Mei lepas, kerana gangguan tersebut bukan sahaja melibatkan kawasan Taman Putra Budiman malahan 12,000 akaun lain di sekitar Balakong," katanya pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong hari ini.

Terdahulu, Lee dan beberapa anggota Syabas mengadakan sesi taklimat dan dialog bersama wakil penduduk sekitar Hulu Langat bagi menjelaskan situasi sebenar.

Beliau berkata rumah pam Taman Putra Budiman sudah lama tidak digunakan dan pada 2009, premis itu dibanjiri air ekoran longkang yang diselenggara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tersumbat dan pecah.

"Masalah ini telah menyebabkan air dan sampah sarap dari longkang yang pecah mengalir masuk ke dalam kawasan rumah pam dan mengakibatkan aliran air sering kali tersumbat, bertakung dan menenggelamkan rumah pam itu sehingga menyebabkan kerosakan pada peralatan seperti pam, motor, papan suis utama dan papan suis penghidup motor," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment