My Add

Monday 6 August 2012

Tak nafi hak rakyat Kelantan


*NAJIB Tun Razak menyerahkan replika baucer bantuan kaki palsu kepada seorang penduduk, Che Mat Awang pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Kebajikan Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana di Bachok, semalam. Turut hadir Dr. Awang Adek Hussin. - BERNAMA

Oleh YULPISMAN ASLI dan AZRAN FITRI RAHIM

BACHOK, AHAD, 05 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak pernah menafikan hak rakyat Kelantan termasuk dalam soal pembayaran tunai daripada hasil petroleum.

Menurut Perdana Menteri, berpegang kepada prinsip adil untuk rakyat sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT, maka beliau telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan secara adil, telus dan saksama isu bayaran petroleum kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagaimanapun, katanya, apa yang dikesalkan ialah sikap parti pembangkang yang terus mempolitikkan isu tersebut dengan melemparkan pelbagai tuduhan kononnya Kerajaan Pusat mengkhianati dan menipu rakyat Kelantan.

“Kita berlaku adil kepada rakyat Malaysia kerana ini perintah Allah, kita takut kepada Allah, kita tidak takut yang lain. Begitu juga dalam mengagihkan kekayaan negara, kita agih secara adil.

“Sebab itu bila timbul isu royalti, isu ini tidak dapat diselesaikan kerana masih lagi dibangkit-bangkitkan, yang menjadi sasaran Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed), Awang Adek (Datuk Dr. Awang Adek Hussin). Saya juga menjadi sasaran kononnya kami mengkhianati, menipu rakyat Kelantan.

“Di bumi Kelantan ini, sempena Ramadan, kami tidak menafikan hak rakyat Kelantan sama sekali. Kita nak berlaku adil, telus, nak buka buku baru kepada rakyat Kelantan bahawa Kerajaan Pusat tidak menafikan hak walau satu tong minyak pun hak Kelantan," katanya di sini hari ini.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Kebajikan Masyarakat yang dihadiri lebih 20,000 orang di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana.

Menurut Perdana Menteri, sikap adil Kerajaan Pusat itu terbukti apabila beliau dalam suratnya kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta dipilih seorang wakil kerajaan negeri yang berjiwa dan mempunyai semangat Kelantan, bukan dalam kalangan orang UMNO atau Pas, menganggotai jawatankuasa khas berkenaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebarang tindakan yang diambil oleh jawatankuasa itu kelak mestilah mengikut Perlembagaan negara termasuk mengambil kira kedudukan telaga minyak yang ada di negeri-negeri terlibat.

“Yang penting sekali, tidak berlaku penafian hak pada mana-mana rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya yang turut menyarankan ketiga-tiga negeri terbabit berunding membincangkan isu berkenaan.

Perdana Menteri turut meminta tidak ada pihak di Kelantan akan terus mempolitikkan isu terbabit dengan membuat pelbagai andaian termasuk jumlah yang boleh diperolehi negeri ini, sehingga mengelirukan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Najib yang menerima memorandum bantahan air daripada pertubuhan bukan kerajaan di negeri ini, menyatakan kemampuan BN untuk menyelesaikan masalah tersebut sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga mengumumkan janji BN untuk membina sebuah hospital pada tahun hadapan mengambil kira keperluan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Itu kita janjikan, slogan kita janji ditepati, puak-puak itu belum tahu lagi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment