My Add

Monday, 6 August 2012

Masalah air selesai jika BN memerintah

KOTA BHARU, AHAD, 05 Ogos, 2912: Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji masalah air yang berlaku di negeri ini akan selesai dalam tempoh singkat sekiranya rakyat Kelantan memberi kuasa kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah.

Perdana Menteri berkata, keperluan asas itu penting untuk memastikan transformasi kerajaan yang dicanang di seluruh negara turut dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat Kelantan.

Menurutnya, pelbagai rintihan rakyat telah diajukan kepadanya justeru beliau berasa simpati dan akan memastikan segalanya dapat diatasi demi kemudahan dan kebajikan mereka.

"Macam mana mahu lakukan transformasi kalau masalah air tak selesai lagi. Tidak payah sebut lebuh raya, di tempat lain pelabuhan manakala di Bachok pula lebuh raya bertingkat.

"Universiti sudah ada di negeri ini tetapi masalah asas masih belum diselesaikan dan petang tadi saya sampai di sini rakyat Kelantan berikan saya memorandum masalah air, justeru berikan kuasa kepada BN dan masalah air akan selesai dalam tempoh terdekat," katanya pada Majlis Solat Tarawih Perdana dan Amanat Perdana Menteri di Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini malam ini.

Masalah ketiadaan bekalan air telah berlaku di negeri ini lebih 20 tahun lalu di bawah pemerintahan Kerajaan Pas Kelantan malah dianggarkan lebih 60 peratus rakyat negeri ini masih gagal mendapat bekalan air bersih.

Najib berkata, pemerintahan Islam adalah berkonsepkan islah iaitu membawa perubahan besar kepada negara dengan berlandaskan al-Quran.

Tegasnya, Islam tidak boleh lari daripada diperjuangkan seiring dengan pembangunan demi memastikan negara ini disanjung tinggi di mata dunia.

"Kita nak Islam dan kemajuan, bukannya Islam tetapi mundur. Kita mahu Islam supaya Malaysia maju dan kita mahu dunia melihat kita maju dan makmur tetapi seiring dengan al-Quran,'' ujarnya..

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menikmati hidangan colek bersama lebih 10,000 penduduk sekitar yang hadir. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Gabungan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan menyerahkan surat kepada Perdana Menteri sempena lawatan beliau ke negeri ini hari ini bagi memohon peruntukan kewangan untuk mengatasi masalah ketiadaan air bersih yang sering melanda beberapa daerah di sini.

Surat tersebut diserahkan melalui wakil mereka, Azmi Ali yang juga Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan dan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Kelantan (Perkasa), Fauzi Mamat.

Berdasarkan surat yang ditandatangani oleh setiap wakil NGO berkenaan, mereka memohon Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk setiap Parlimen melalui Tabung Bencana Banjir yang akan diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment