My Add

Saturday 4 August 2012

Tiada kompromi dedah rahsia pelanggan bank

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 0gos, 2012: - Maklumat sulit atau rahsia pelanggan adalah asas penting dalam hubungan antara pelanggan dengan bank dan tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran.

Menurut Pengerusi Persatuan Bank-bank dalam Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, asas berkenaan membentuk tunggak utama integriti dan keyakinan dalam sistem perbankan.

"Ia perlu dilindungi dan tidak boleh dikompromi," katanya dalam satu kenyataan akhbar bagi mengulas skandal pendedahan maklumat akaun bank bagi projek Pusat Fidlot Nasional (NFC), baru-baru ini.

Menurut beliau, peraturan itu bukan sahaja dilaksanakan oleh bank-bank di negara ini tetapi juga di seluruh dunia, mereka tidak berkompromi dalam hal berkaitan rahsia perbankan.

"Kami tidak akan ragu-ragu untuk memecat mana-mana pekerja yang didapati memungkiri peruntukan rahsia perbankan berkenaan," jelasnya.

Di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA), ia secara jelas melarang seorang pengarah atau pegawai mana-mana institusi berlesen atau sesiapa yang memiliki akses kepada mana-mana rekod daripada memberi, mengeluarkan, memberitahu , mendedahkan, mengumumkan atau mendedahkan kepada sesiapa apa-apa maklumat atau dokumen berkaitan dengan perkara-perkara atau akaun seorang pelanggan tanpa persetujuan pelanggan.

Pada 1 Ogos lalu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun bank tiga syarikat yang terlibat dalam projek NFC kepada dua petugas media pada Mac lalu.

Turut didakwa bersubahat dengan Rafizi melakukan perbuatan tersebut adalah bekas kerani (bahagian kredit) Public Bank Bhd. cawangan Jinjang, Johari Mohamad, 41.

Mengikut pertuduhan, Rafizi didakwa mempunyai akses kepada dokumen berupa salinan rumusan akaun bank Public Bank milik National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), National Meal & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun peribadi Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Ketiga-tiga syarikat itu terlibat dalam mengendalikan projek ternakan lembu di bawah NFC.

Rafizi didakwa menzahirkan kesemua dokumen itu kepada konsultan media, Yusof Abdul Alim dan wartawan akhbar The Star, Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR, A-1-09, Merchant Square, No.1, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya dekat sini pada 7 Mac lalu.

Mengulas isu tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai penyelewengan sepatutnya membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dia (Rafizi) didakwa di bawah BAFIA dan alasan BAFIA adalah untuk melindungi integriti sistem kewangan. Mereka yang ada akaun (bank) mahu dilindungi. Jika tidak sesiapa sahaja termasuk orang luar tidak akan letak duit dalam sistem kita," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment