My Add

Thursday 23 August 2012

Masyarakat Bidayuh beri penghargaan kejayaan Pandelela

KUCHING, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menganugerahkan keahlian seumur hidup dan sumbangan kewangan kepada pemenang pingat gangsa Olimpik, Pandelela Rinong Pamg dan rakannya yang turut bertanding dalam sukan itu Traisy Vivien Tukiet.

Pandelela, 19, dari Kampung Jugan, Bau, dekat sini menerima RM30,000 manakala Traisy, 18, dari Kampung Seromah, Bau, menerima RM8,000 pada majlis makan malam penghargaan untuk dua atlit Olimpik DBNA itu, di sini malam tadi. 

Bercakap pada majlis yang diadakan penuh tradisi itu, Pandelela berkata, perjalanan untuk menjadi pemenang pingat Olimpik wanita pertama Malaysia yang dilalui sejak berumur sembilan tahun adalah sesuatu yang sangat sukar.

"Dalam setiap perlawanan, kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah, tapi daripada kekalahan itu kita mendapat pengajaran dan cuba untuk tidak berpuas hati dengan kemenangan kita dengan memperbaiki dan mempelajari sesuatu yang baru," katanya.

Pandelela berkata, sokongan yang ditunjukkan semua pihak akan menjadi perangsang untuk beliau mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam bidang sukan.

Pandelela memenangi pingat gangsa dalam acara platform 10 meter Sukan Olimpik London 2012 manakala Traisy menduduki tempat ke-22 acara yang sama.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Datuk Seri Michael Manyin ketika mengucapkan tahniah kepada Pandalela dan Traisy, berkata kedua-duanya adalah antara penerjun terbaik Malaysia, mereka bukan saja kebanggaan masyarakat Bidayuh tetapi juga negeri dan seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment