My Add

Monday 29 October 2012

2 kali hangus dalam 45 hari

BESUT, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Seorang anggota polis bantuan trauma kerana belum sempat melupakan pengalaman pertama kuartersnya terbakar awal bulan lalu, beliau sekali lagi ditimpa musibah sama di kuarters kedua yang baru didiaminya di Kampung Raja di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Mohamad Adnan Hasbullah, 52, yang menetap bersama empat anak dan isterinya, tinggal sehelai sepinggang apabila hampir semua pakaian serta peralatan rumah yang disedekahkan orang ramai ketika kejadian kebakaran pertama pada 12 September lalu turut musnah terbakar.

Tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampung Raja berjaya memadam kebakaran itu sepenuhnya dan membendung api daripada merebak ke kuarters bersebelahan, dalam tempoh 55 minit.

Kebakaran dipercayai bermula di tingkat dua kuarters separuh konkrit itu iaitu dari sebuah bilik tidur sebelum merebak ke seluruh bahagian tingkat berkenaan.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui di tempat kejadian berkata ketika kejadian beliau dan keluarganya dalam perjalanan menuju ke Pasir Putih, Kelantan untuk menghadiri kenduri keluarga terdekat.

Ketika sedang memandu dan sampai di Kampung Tok Khamis, saya menerima panggilan daripada kawan yang mengatakan kuarters saya terbakar.

Dengan bantuan rakan, kami hanya sempat menyelamatkan barangan perabot yang terletak di tingkat bawah kerana di tingkat atas terbakar hampir keseluruhannya, katanya sambil menambah kejadian itu adalah kali kedua dialaminya dalam masa 45 hari.

Pada 12 September lalu, kuarters kediaman Adnan yang terletak kira-kira 10 meter dari kuarters yang didiami sekarang terbakar pada 2 pagi ketika beliau dan keluarga dalam perjalanan menuju ke Melaka bagi menziarahi cucunya yang sakit.

Adnan berkata, dalam kejadian pertama beliau sedang dalam perjalanan antara Raub dan Bentong, Pahang apabila menerima panggilan yang kuartersnya terbakar.

Saya amat sedih kerana semua peralatan dan buku termasuk nota pelajaran anak perempuan saya, Nuraini Fazreen, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), minggu depan turut musnah, katanya.

Ini pengalaman pahit yang tidak akan mudah kami lupakan sampai bila-bila, katanya yang bertugas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment