My Add

Monday 29 October 2012

Cuba bolos rumah Lam Thye

CHERAS, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Polis memberkas empat lelaki yang cuba memecah masuk rumah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Taman Maluri, di sini, awal pagi semalam.

Unit Rondaan Bermotosikal membabitkan anggota Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menangkap mereka juga melepaskan tujuh das tembakan ketika mengejar penjenayah yang memandu sebuah kereta Mercedes-Benz CLS 350 dalam kejadian jam 5 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata ketika meronda kawasan itu, anggota berkenaan terserempak kereta yang mencurigakan.

Dua lelaki dilihat cuba memanjat tembok sebuah rumah berkembar dua tingkat di situ.

Selepas menyedari tindak-tanduk mereka diperhatikan, suspek meluru masuk ke dalam kereta dipandu seorang lelaki dan seorang yang lain di dalamnya.

Mereka kemudian memecut laju menuju ke Kondominium Pertiwi Indah yang jaraknya kira-kira satu kilometer, katanya.

Beliau berkata, ketika cuba menahan suspek, tujuh das tembakan dilepaskan polis ke arah kereta yang dinaiki penjenayah sebelum berjaya menahan mereka.

Seorang suspek cedera di kepala akibat terkena serpihan cermin yang pecah.

Penjenayah merempuh masuk kawalan keselamatan di kondominium itu, selain cuba melanggar seorang anggota di situ untuk melepaskan diri selepas menyedari mereka tiada jalan keluar, katanya.

Siasatan awal polis mendapati kereta itu dilaporkan dicuri di Bukit Maluri, Kepong pada Sabtu lalu dan penjenayah tidak menukar nombor pendaftarannya.

Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun itu adalah ahli Geng Hong yang ditumpaskan Jun lalu. Pemeriksaan dalam kenderaan menjumpai pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah.

Kata beliau, suspek direman sehingga 31 Oktober untuk siasatan lanjut. - BH

No comments:

Post a Comment