My Add

Monday 29 October 2012

Suspek kes bunuh warga tua guna dumbell ditahan

SHAH ALAM, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun, sehari selepas ibunya ditemui mati dipercayai dibunuh dengan besi angkat berat dumbell di Bukit Subang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan dan Perundangan), Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata lelaki itu direman lima hari bermula semalam sehingga 1 November ini untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kelmarin, Teh Kin Geok, 60, ditemui mati oleh anak saudaranya dalam timbunan kain dalam bilik tidur utama rumah wanita itu, kira-kira jam 1.30 petang.

Siasatan polis menemui tiga kesan cedera di kepala mangsa dipercayai akibat hentakan kuat. Dumbell yang dianggarkan seberat 10 kilogram itu turut ditemui di rumah mangsa dan polis tidak menolak kemungkinan dia mati dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya sewaktu ditemui, katanya ketika dihubungi, semalam.

Siasatan awal polis menolak kaitan kejadian dengan samun selepas dimaklumkan ahli keluarga bahawa tiada barang berharga hilang selain keadaan rumah tiada kesan pecah masuk kecuali ada kesan umpil pada peti besi di kediaman itu, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada peti itu mengandungi wang atau tidak.

Rusdi berkata, wanita terbabit menetap di rumah teres dua tingkat itu bersama anak lelakinya dan dua anak angkat berusia enam bulan dan dua tahun.

Siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa meninggalkan rumah berkenaan bersama adik angkatnya sejak Khamis lalu untuk ke rumah teman wanita di Cheras. Berdasarkan keterangan jiran pula, mereka mendengar bunyi seperti orang berjalan di tingkat atas rumah itu kira-kira jam 2.30 pagi hingga 3 pagi kejadian, katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat dan kejadian disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK). - BH

No comments:

Post a Comment