My Add

Tuesday 2 October 2012

Bajet 2013 tunaikan aspirasi, garap harapan rakyat

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pembentangan Bajet 2013 dijangka terus meningkat sekali gus mempengaruhi sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Penganalisis geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, majoriti rakyat menyambut baik transformasi yang telah dan sedang dilaksanakan Najib dengan menyifatkannya sebagai usaha wajar.

Jelasnya, penyediaan insentif dalam mensejahterakan rakyat terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM); Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), bantuan sekolah dan universiti serta bantuan lain seperti diumumkan menerusi Bajet 2013 berjaya mengurangkan beban kos hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kajian yang dijalankan sebelum pembentangan Bajet 2013 di tiga buah negeri mendapati sebanyak 67 dan 73.5 peratus penduduk Kedah dan Johor yakin BN boleh menang di peringkat nasional manakala di Selangor, 67.7 peratus penduduk menyatakan BN mampu mengekalkan kemenangan dua pertiga.

"Berdasarkan bajet yang merangkumi pelbagai status ekonomi, demografi dan geografi, penerusan transformasi serta memenuhi aspirasi, dijangkakan sokongan rakyat terhadap BN akan meningkat dan mampu mempengaruhi pola pengundian pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berucap dalam Wacana Majlis Profesor Negara (MPN) Pasca Bajet 2013: Mentransformasi Negara di sini hari ini.

Wacana yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan membolehkan ahli akademik menganalisis dan menterjemahkan isu-isu semasa dalam konteks selepas Bajet 2013.

Hadir sama, Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid; Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsanya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak serta Pengarah Bersama Wacana, Prof. Raduan Che Rose.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, bajet merupakan dokumen ekonomi penting bagi sesebuah negara dan memerlukan kerangka jelas bagi membolehkan penilaian dibuat.

Sebagai seorang ahli ekonomi, beliau melihat Bajet 2013 mempunyai kerangka jelas dan menumpukan kepada hasil pendapatan negara.

"Sebaliknya, kerangka bajet yang dikemukakan pembangkang lebih tertumpu kepada kaedah memberi secara percuma, mengurangkan kos dan sebagainya.

"Tetapi dari sudut meningkatkan hasil pendapatan dan merancakkan ekonomi negara, saya tidak nampak tanggungjawab mereka ke arah itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment