My Add

Tuesday 2 October 2012

Pengurangan subsidi gula jamin kesihatan rakyat

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram merupakan langkah tepat dalam menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

Presiden Lembaga Pelindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, Malaysia kini merupakan negara kedua tertinggi penghidap penyakit yang berpunca daripada gula.

Menurut beliau, rakyat seharusnya melihat pengurangan subsidi gula itu dari sudut positif iaitu galakan kepada mereka untuk mengurangkan pengambilan bahan tersebut dalam makanan dan minuman.

"Gula bukanlah bahan utama dalam masakan tetapi hanya perasa tambahan dan kita masih boleh hidup cergas serta sihat meskipun dengan mengurangkan pengambilan gula dalam rutin makanan harian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pengurangan subsidi gula itu tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh peniaga menaikkan harga bekalan tersebut.

"Gula hanya memainkan peranan kecil dalam industri perniagaan runcit atau kedai makanan. Jadi, tidak mungkin sesebuah kedai itu akan lingkup jika subsidi gula dikurangkan," ujarnya.

Beliau menyeru peniaga bekerjasama dengan kerajaan mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan gaya hidup sihat termasuk dengan mengurangkan pengambilan gula.

Katanya, kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman berikutan pengurangan subsidi gula tersebut termasuk menarik lesen perniagaan mereka. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment