My Add

Thursday 11 October 2012

FDI halal Malaysia lepasi RM1b
*Mustapa Mohamed merasmikan pelancaran Halfest 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam sambil disaksikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin-pemimpin dari organisasi penganjur pameran tersebut.
Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR, RABU, 10 Oktober, 2012: Malaysia telah melepasi sasaran RM1 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri halal hanya dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Pada tahun lalu, FDI dalam industri halal berjumlah RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industri Development Corporation Sdn. Bhd.(HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, FDI dalam industri halal dicatatkan sebanyak RM1.1 bilion.

Katanya, pencapaian memberangsangkan itu disokong oleh insentif daripada kerajaan termasuk pengecualian cukai barangan pembuatan yang dibawa ke Taman Industri Halal di seluruh negara.

"Pada masa ini, kami mempunyai sebanyak 19 buah Taman Industri Halal di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Fiesta Halal Malaysia (Halfest 2012) di sini hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad.

Tambah Jamil, satu lagi faktor penyumbang kepada prestasi memberangsangkan FDI industri halal di negara ini adalah kerana Malaysia merupakan pengeluar dan pembekal ramuan halal terbesar di dunia.

Katanya, ramuan halal di negara ini adalah menyeluruh iaitu dalam produk makanan, produk farmaseutikal dan lain-lain.

Tambah Jamil, jumlah eksport halal di Malaysia juga meningkat bagi separuh pertama tahun ini iaitu RM16.6 bilion.

Manakala, pada tahun lalu, beliau berkata, eksport halal Malaysia adalah RM35.4 bilion.

"Eksport halal terbesar dari Malaysia setakat ini adalah China," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment