My Add

Monday 29 October 2012

Harimau Muda A kekal dalam Liga Singapura

SHAH ALAM, 29 Oktober, 2012: Harimau Muda A dijangka terus kekal beraksi dalam Liga Singapura musim depan berdasarkan kontrak empat tahun bermula 2012 yang ditandatangani Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagaimanapun berkata situasi itu boleh berubah memandangkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu perlu membuat persediaan rapi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.

Menurut Azzuddin, spekulasi bahawa Harimau Muda A bakal menyertai liga lain di luar negara, hanya khabar angin kerana jawatankuasa eksekutif FAM belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Kita bagaimanapun bercadang menghantar mereka menyertai latihan di Eropah sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan," katanya kepada pemberita selepas seminar Liga Malaysia 2013-2016 semalam.

Sebelum ini dilaporkan, FAM bercadang menghantar skuad Harimau Muda A menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Sementara itu Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM akan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam tempoh terdekat bagi mewujudkan sebuah badan bebas yang akan mentadbir liga bola sepak tempatan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment