My Add

Monday 29 October 2012

Syor wujud wad khas wanita dikaji

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Kementerian Kesihatan akan mengkaji kewajaran mewujudkan wad khas yang dikendalikan doktor wanita untuk merawat pesakit wanita di hospital kerajaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata walaupun perkhidmatan itu belum sesuai dilaksanakan, kementerian sedia mengkajinya.

Namun, pelaksanaannya membabitkan beberapa faktor termasuk kerajaan tidak mengamalkan pengambilan doktor mengikut kuota doktor lelaki atau wanita. Selain itu, penempatan doktor tidak mengira jantina, sebaliknya mengikut keperluan tenaga kerja, katanya kepada BH.

Beliau diminta mengulas cadangan pembaca BH dalam ruangan Suara Komuniti yang meminta diwujudkan wad khas dikendalikan doktor wanita di hospital kerajaan supaya pesakit wanita, terutama yang beragama Islam mempunyai pilihan ketika mendapatkan rawatan.

Rosnah berkata, walaupun 70 peratus rakyat terdiri daripada wanita, nisbah pesakit lelaki dan wanita yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan tidak jauh berbeza.

Selain itu, pesakit wanita boleh meminta diperiksa oleh doktor wanita tetapi bergantung kepada ketersediaan doktor berkenaan.

Ini bermakna jika ada doktor wanita yang bertugas dan kepakarannya sesuai dengan penyakit yang dihidapi pesakit, tiada yang menghalang untuk pesakit berurusan dengan mereka. katanya.

Selain itu, beliau berkata, tiada perbezaan jantina dalam pembelajaran bidang perubatan.

Seseorang doktor tanpa mengira jantina perlu tahu semua penyakit kedua-dua jantina mengikut kepakaran mereka. Pengkhususan kepakaran juga tidak mengira jantina. Ada pakar perubatan sakit puan dan perbidanan terdiri daripada doktor lelaki, katanya.

Ditanya mengenai perancangan kementerian untuk hospital kerajaan memberikan perkhidmatan hujung minggu sama seperti hari biasa, beliau berkata ada kewajaran mengenai perkara itu.

Cuma, pada masa ini perkhidmatan kecemasan memang disediakan 24 jam sehari di semua hospital kerajaan dan klinik kesihatan.

Di hospital kerajaan, perkhidmatan kecemasan dibuka 24 jam, manakala Klinik Kesihatan, perkhidmatan kecemasan selepas waktu pejabat disediakan mengikut panggilan yang mana klinik tidak dibuka, tetapi petugas disediakan untuk kes kecemasan, katanya. - BH

No comments:

Post a Comment