My Add

Monday 29 October 2012

Nama besar sertai universiti butik ICT

 
KUALA LUMPUR, 29 Oktober, 2012Prestariang Bhd yang diberi mandat oleh kerajaan untuk menubuhkan universiti butik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pertama negara, menyenaraikan beberapa syarikat gergasi antarabangsa sebagai rakan industrinya.

International University of Computing (IUC) di Cyberjaya dikendalikan anak syarikatnya, Prestariang Education Sdn Bhd (PESB) akan dibarisi nama besar ICT dunia antaranya Microsoft, IBM, Oracle, Autodesk dan Huawei.

Senarai rakan industri berkenaan baru saja dimuktamadkan sekali gus meletakkan universiti berkenaan dalam landasan kukuh untuk melahirkan generasi tenaga kerja teknologi berkemahiran tinggi bagi menampung keperluan negara.

Ketua Eksekutif Prestariang BHD, Dr Abu Hassan Ismail, berkata pengambilan rakan industri itu antara pelan latihan akademik IUC.

Ia jelasnya, bertepatan dengan matlamat memajukan sektor ICT di Malaysia.

Katanya, ia bagi membolehkan pelajar IUC mendapatkan pengalaman industri sebenar dalam sektor yang sentiasa berubah dari masa ke masa itu.

Rakan industri yang dipilih itu juga ialah rakan perniagaan Prestariang sejak beberapa tahun lalu, katanya kepada BH, baru-baru ini.

Prestariang mempunyai hubungan rapat dengan peserta industri. Ia antara lain pengedar terbesar lesen perisian Microsoft serta penyedia persijilan dan latihan ICT utama di negara ini.

Abu Hassan berkata, selain menyenaraikan rakan industri, PESB kini sedang memuktamadkan rakan pengkomersialan dan rakan akademik untuk IUC, sekali gus menjadikan universiti itu antara institusi perdana bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ICT tempatan.

Tujuan melantik rakan pengkomersialan bagi membolehkan IUC dapat menjual idea secara komersial iaitu menerusi kerjasama yang dijalin dalam bentuk modal teroka.

Rakan akademik pula terdiri daripada nama besar dalam industri. Nantikan pengumumannya tidak lama lagi, katanya.

Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata, kampus IUC di Cyberjaya itu akan menerima kumpulan pertama seramai 300 pelajar bagi tahun pengajian 2013 pada April depan.

Pengambilan kedua pula, katanya akan dibuat pada September 2013 melalui saiz kemasukan hampir sama dengan kumpulan pertama yang membolehkan IUC beroperasi penuh dalam tempoh itu. Premis IUC di Cyberjaya sudah disiapkan untuk menampung kemasukan pelajar berkenaan.

IUC akan mempunyai lima fakulti mengkhusus kepada bidang ICT yang mendapat permintaan paling tinggi daripada industri.

Lima fakulti itu ialah Kejuruteraan Komputer, Sains Komputer, Kejuruteraan Perisian, Sistem Maklumat dan Teknologi Maklumat dari peringkat asasi sehingga ke doktor falsafah.

Awal minggu lalu, PESB melantik Professor Datuk Dr Halimaton Hamdan sebagai Naib Canselor pertama universiti itu.

Halimaton mempunyai pengalaman 30 tahun dalam bidang pendidikan, sains dan industri teknologi.

Beliau yang juga seorang saintis, penyelidik dan pendidik pernah memenangi pelbagai anugerah antaranya World Invention Award Glass Oberlisk pada Pameran Ciptaan Britain 2007, produk tahunan terbaik Maerogel oleh Clean Energy Circle UK 2008 dan Anugerah Merdeka dalam Sektor Kesihatan, Sains dan Teknologi pada 2009. - BH

No comments:

Post a Comment