My Add

Sunday 28 October 2012

Kabel bocor jejas lampu KKIA

KOTA KINABALU, AHAD, 28 Oktober, 2012: Kebocoran kabel usang dikenal pasti punca lampu landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, gagal berfungsi hingga menyebabkan ribuan penumpang terkandas, Khamis lalu.

Pengurus Kanan KKIA, Kamaruzzaman Razali, berkata kabel itu sudah lama dan belum digantikan kontraktor yang melaksanakan projek naik taraf KKIA yang kos keseluruhannya membabitkan lebih RM1 bilion.

Akibat kejadian Khamis lalu, kita sudah menggantikan kabel itu dengan yang baru dan landasan KKIA mampu beroperasi 100 peratus termasuk pada waktu malam.

Kami ingin memberi penjelasan MAHB tidak menggunakan lampu mudah alih yang dipasang semalam (kelmarin) bagi membolehkan penerbangan disambung semula pada waktu malam.

Ia hanya untuk kecemasan kerana kita sudah memperbaiki kabel yang rosak, katanya di sini, semalam.

Kegagalan lampu landasan berfungsi berlaku kira-kira jam 6 petang Khamis lalu, mengakibatkan kira-kira 5,000 penumpang terkandas, manakala penerbangan dari Brunei, Singapura dan Kuala Lumpur yang sepatutnya mendarat di KKIA, terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Labuan.

Keseluruhan 40 penerbangan terjejas berikutan masalah itu iaitu penerbangan sepatutnya berlepas di KKIA, dari lapangan terbang lain serta penerbangan dilencongkan.

Landasan KKIA dibuka semula jam 9.30 malam kelmarin selepas sebahagian besar lampu yang gagal berfungsi diperbaiki.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut membantu menyediakan lampu mudah alih yang dibawa dari Sarawak dan Pahang sebagai alternatif sekiranya berlaku sebarang masalah. - BH

No comments:

Post a Comment