My Add

Monday 29 October 2012

Majukan hartanah di rizab Melayu

KUALA LUMPUR, 29 Oktober, 2012: Impiana Land & Development Sdn Bhd, pengurus projek hartanah khusus berminat untuk menguruskan projek pembangunan hartanah di kawasan tanah rizab Melayu di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Haris Onn Hussein, berkata pihaknya sentiasa terbuka kepada peluang untuk menguruskan projek hartanah yang akan dibangunkan di tanah berkenaan terutama yang terletak di kawasan strategik seperti di Lembah Klang.

Beliau berkata, lokasi penting dalam membangunkan projek hartanah di kawasan berkenaan kerana pembeli sangat bimbang dengan pulangan pelaburan yang membabitkan hartanah sebegitu.

Beliau berkata, ada persepsi potensi pulangan pelaburan di tanah rizab Melayu terhad iaitu khusus kepada pembeli Melayu saja.

Namun, persepsi itu perlu diubah kerana jika lokasi hartanah strategik, ia mampu memberi pulangan modal lebih baik berbanding hartanah dibangunkan di kawasan lain.

Kos membangunkan hartanah di tanah rizab Melayu adalah rendah, sekali gus membolehkan hartanah yang dibangunkan itu dijual pada harga lebih murah berbanding hartanah di kawasan lain, katanya kepada BH selepas majlis pelancaran rasmi Villa Serene Kiara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jika ia terletak di kawasan yang menjadi tumpuan utama, pemilik hartanah berpeluang menikmati kadar sewa dan pulangan modal yang tinggi seperti ditawarkan hartanah di kawasan sekitarnya, tambahnya.

Haris Onn berkata, berdasarkan pengalaman syarikatnya menguruskan projek hartanah mewah yang dibangunkan di tanah rizab Melayu, Serene Kiara menyaksikan harga hartanah itu meningkat kepada RM3 juta daripada RM1.6 juta ketika dilancarkan beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, hartanah itu tidak menghadapi masalah permintaan kerana kedudukannya strategik iaitu terletak di kawasan utama di Desa Sri Hartamas yang sentiasa menjadi pilihan utama pelabur dan pembeli rumah.

Mengenai sambutan terhadap kediaman Villa Serene Kiara, Haris Onn berkata, ia mendapat sambutan hangat pembeli rumah dengan 94 peratus unit dijual sejak prapelancarannya tahun lalu.

Kedudukannya yang strategik iaitu terletak berhampiran kemudahan awam utama dan mudah dihubungkan dengan lebuh raya utama.

Katanya, projek berkenaan menawarkan 16 banglo dan 68 rumah berkembar.

Harga banglo bermula daripada RM4 juta seunit sehingga RM6 juta sementara rumah berkembar bermula daripada RM2.5 juta, katanya. - BH

No comments:

Post a Comment