My Add

Monday 1 October 2012

Malaysia-Mesir tingkat perdagangan dua hala

KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Malaysia dan Mesir bersetuju meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk dalam bidang pendidikan dan tenaga.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau dan rakan sejawatnya, Mohamed Kamel Amr turut bersetuju supaya pertukaran lawatan dilakukan di antara Menteri Perdagangan kedua-dua negara, bagi tujuan tersebut.

Dalam pertemuan Anifah dan rakan sejawatnya itu di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Jumaat lepas, Mohamed Kamel turut menyampaikan hasrat Mesir mempelajari pendekatan Malaysia dalam memajukan politik dan sosioekonomi negara ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra yang dikeluarkan di sini hari ini, Anifah berkata, Malaysia bersedia berkongsi pengalamannya dalam memacu pembangunan nasional dengan inisiatif-inisiatifnya seperti program Transformasi Kerajaan dan ekonomi.

Menyentuh mengenai filem anti-Islam dan karikatur yang memfitnah dan menghina Nabi Muhammad S.A.W, kedua-dua menteri itu bersetuju, kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab dan sikap menghormati agama dan kepercayaan lain.

Pada pertemuan tersebut, Anifah turut menyampaikan jemputan kepada Presiden Mesir, Mohamed Morsi untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-8 yang dianjurkan Malaysia pada 4 hingga 6 Dis depan. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment