My Add

Monday 29 October 2012

Masalah gear ganggu Zulfahmi


*ZULFAHMI Khairuddin (depan) mendahului barisan pelumba lain sebelum 
motosikalnya menghadapi masalah teknikal ketika memasuki pusingan ketujuh
 sehingga menghalangnya daripada meneruskan perlumbaan Grand Prix Australia
 di Phillip Island, semalam. - AFP
Oleh AIZAWATI AHMAD
KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Oktober, 2012:Episod duka berterusan di Grand Prix (GP) Australia buat pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin setelah dia gagal menamatkan perlumbaan pada ketika saingan hanya berbaki empat pusingan di Litar Phillip Island, semalam.

Sejak menyertai GP dunia, anak muda kelahiran Banting, Selangor itu masih gagal membuang badi setiap kali bersaing di litar yang disifatkan sebagai paling laju dalam kalendar MotoGP.

Ada sahaja halangan yang terpaksa diharungi. Dua tahun lalu, Zulfahmi gagal menamatkan perlumbaan, sementara tahun lepas, dia sekadar berada di tangga ke-20 setelah bermula di petak ke-27 dan tahun ini, sekali lagi, anak muda itu mengulangi sejarah lampau 2010.

Masih segar dengan kejayaan pertama melakar keputusan podium pada perlumbaan di tanah airnya, seminggu lalu, Zulfahmi sudah tentu tidak mahu menghampakan rakyat Malaysia yang mengharapkan dia mengulangi kecemerlangan sama di bumi kangaroo itu.

Namun, tuah tidak mengiringi Zulfahmi di Phillip Island setelah terpaksa untuk tidak menamatkan perlumbaan ekoran masalah pada kotak gear jenteranya.

Dia bermula baik pada awal perlumbaan dengan mendahului pelumba-pelumba lain untuk enam pusingan, tetapi anak muda berusia 21 tahun itu terpaksa akur dengan masalah teknikal yang dihadapinya.

Zulfahmi berkata: "Saya bermula baik, hari ini (semalam) dan selepas beberapa pusingan saya mula berasa sukar untuk memasukkan gear, hinggalah berbaki empat pusingan untuk tamat, kotak gear saya rosak.

"Saya terpaksa berhenti, minggu ini motosikal tidak berapa baik. Semalam (kelmarin) saya mengalami kerosakan ekzos dan hari ini pula kotak gear saya rosak."

Mahu segera melupakan kehampaan pada GP Australia, Zulfahmi memberitahu, tumpuannya kini adalah kepada perlumbaan terakhir musim ini iaitu GP Valencia pada 11 November ini.

"Saya sudah lupakan perlumbaan hari ini dan bersedia untuk bersaing di Valencia," katanya yang jatuh satu anak tangga iaitu di kedudukan kelapan senarai pelumba Moto3 setelah mengumpul 112 mata.

Pada saingan Moto3 semalam, Sandro Cortese yang telah pun dinobatkan sebagai juara dunia Moto3 di GP Malaysia, minggu lalu muncul pemenang GP Australia dengan catatan masa 38 minit 20.014 saat.

Menamatkan saingan di tangga kedua, Miguel Oliveira dari pasukan Estrella Galicia dengan catatan masa 38'22.108s, manakala pelumba Australia, Arthur Sissis di tempat ketiga setelah melakar masa 38'25. - 045sat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment