My Add

Tuesday 2 October 2012

 Semai nilai integriti dalam kalangan graduan - Raja Nazrin
 *RAJA Dr. Nazrin Shah (kanan) menyampaikan Sijil Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi kepada Dr. Zeti Akhtar Aziz pada majlis Istiadat Konvokesyen Ke-107 Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 Oktober, 2012: Pro Canselor Universiti Malaya (UM), Raja Dr. Nazrin Shah menggesa pihak universiti memainkan peranan menanam nilai-nilai integriti yang tinggi dalam kalangan siswazah yang dilahirkan.

Baginda bertitah, kemajuan sesebuah negara tidak lengkap jika diukur dengan pencapaian ekonomi dan tahap kemajuan teknologi semata-mata sebaliknya turut dinilai menerusi aspek moral, integriti dan ketulusan di kalangan anak bangsanya.

"Universiti hendaklah mempunyai benteng kukuh dan secara tegas menyekat budaya yang mengizinkan berlakunya sebarang manipulasi kerana mahu memenuhi sasaran data berbentuk kuantitatif," titah baginda sewaktu merasmikan Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-51, di sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan seramai 353 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang yang disampaikan Raja Dr. Nazrin.

Baginda yang juga Raja Muda Perak turut mengurniakan Ijazah Kehormat kepada empat individu atas sumbangan mereka kepada negara menerusi bidang yang diceburi.

Mereka ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi serta Pengerusi Nippon Foundation, Tan Sri Yohei Sasakawa yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan.

Dua lagi penerima ialah Prof. Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid serta Datuk Seri N. S. Selvamany yang masing-masing menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama enam hari itu menyaksikan seramai 1,785 graduan menerima ijazah sarjana manakala 3,657 lagi menerima ijazah sarjana muda.

Raja Dr. Nazrin bertitah, keputusan kaji selidik Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu) yang menunjukkan majoriti mahasiswa menganggap perlakuan menawar dan menerima rasuah tidak memudaratkan seperti dilaporkan media tempatan pada 30 Jun lalu amat membimbangkan.

"Universiti wajib berada di barisan hadapan menjuarai usaha menyemai etika murni dan integriti tinggi di kalangan warga di bawah pengawasannya sebagai melengkapi usaha negara memerangi rasuah," titah baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment