My Add

Wednesday 24 October 2012

Pasukan khas HKL rawat Ahmad Adam Syukri

 *SHAHRIZAT Abdul Jalil melawat Ahmad Adam Syukri Suherma di Wad
Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan menubuhkan satu pasukan khas untuk merawat Ahmad Adam Syukri Suherma, bayi berusia tujuh bulan yang menghidap penyakit kerosakan saraf otak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beberapa pakar akan dikumpul dalam pasukan itu bagi mengenalpasti secara lebih mendalam penyakit yang dihidapi oleh bayi dari Sarikei, Sarawak itu.

"HKL merupakan hospital yang mempunyai ramai pakar yang dapat digunakan dalam memberikan rawatan sepenuhnya terhadap Adam.

"Saya berharap agar segala kepakaran yang ada di HKL dapat merawat penyakit yang dialami oleh Adam," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi berkenaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Pediatrik HKL, di sini hari ini.

Beliau berkata, segala kos perubatan Ahmad Adam Syukri juga akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi HKL, Datin Dr. V. Sivasakthi berkata, pihaknya akan memeriksa dengan lebih lanjut untuk mengetahui punca dan langkah-langkah bagi merawat penyakit bayi itu.

Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Noraisah Mohamad Malena, 27, berkata, ketika Ahmad Adam Syukri dimasukkan ke Hospital Sarikei pada 9 Oktober lepas, keadaan bayi itu amat lemah menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sibu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terlibat dalam misi membawa bayi berkenaan mendapatkan rawatan selanjutnya di HKL berharap Ahmad Adam Syukri menerima rawatan terbaik di HKL.

"Ini merupakan tanggungjawab pihak kami dalam mengurus dan menyempurnakan perjalanan mereka (Adam dan keluarga) supaya Adam mendapat rawatan yang segera dan terbaik di sini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment