My Add

Sunday 14 October 2012

Pekeliling baru penjawat awam ke luar negara hanya penambahbaikan biasa

KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Oktober, 2012:: Pekeliling baru mengenai Peraturan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu hanya proses biasa untuk menambah baik sistem perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, ia hanya proses biasa berikutan kenaikan gaji perkhidmatan awam, serta pertambahan pegawai kerajaan ke luar negara secara persendirian.

"Jadi, kita hanya perlu mengawasi dan menegur sistem itu bagi menambah baik pekeliling itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program gotong-royong Penjaja 1Malaysia di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, hari ini bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman yang mempersoal mengenai peraturan itu dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Ali berkata, beliau akan memperjelas berhubung peraturan baru itu kepada Cuepacs pada pertemuannya dengan mereka dalam masa terdekat.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam yang ke luar negara atas urusan persendirian supaya memastikan semua perbelanjaan mereka adalah dari simpanan sendiri.

Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012 yang baru itu menetapkan semua pegawai awam yang ingin ke luar negara atas tujuan persendirian perlu mendapatkan kelulusan pegawai tinggi mengikut jawatan dan kategori pegawai.
Ia, yang ditandatangani Ali, menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment