Peminjam PTPTN patut bersyukur
KUALA LUMPUR, AHAD, 30 September, 2012: Graduan yang membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu menghargai keprihatinan kerajaan menawarkan insentif diskaun bagi pembayaran balik pinjaman itu.
Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, para peminjam sewajarnya bersyukur kerana kerajaan mengambil berat terhadap usaha meringankan beban kewangan golongan berkenaan.
Saya berharap para peminjam akan lebih bertanggungjawab kerana kerajaan turut menanggung peruntukan yang banyak bagi memberikan diskaun itu.
Kerajaan mendengar rintihan suara anak muda yang terbeban dengan pinjaman pendidikan dan kini tiba masanya untuk para graduan membuat bayaran balik demi kepentingan generasi akan datang," katanya.
Beliau mengulas pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu yang memberikan insentif diskaun 20 peratus ke atas jumlah pinjaman bagi peminjam yang menyelesaikan hutang PTPTN sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 September ini sehingga 30 September tahun depan.
Bagi peminjam yang membayar secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober ini pula diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.
Menurut Mohd. Shahar, para graduan yang membuat pinjaman PTPTN tidak sewajarnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu menghapuskan pinjaman itu kerana janji tersebut tidak realistik kepada ekonomi negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment