My Add

Monday 29 October 2012

Polis tumpaskan sindiket curi telefon pintar RM3.23 juta

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Oktober, 2012: Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri 1,407 telefon pintar terbaru Samsung Galaxy Note II bernilai RM3.23 juta selepas tertangkapnya 13 orang, termasuk dalang sindiket itu dalam tempoh sembilan hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kesemua mereka adalah empat wanita dan sembilan lelaki yang berumur antara 22 dan 43 tahun.

Beliau berkata, daripada 13 ditahan itu, seorang daripada mereka berusia 42 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini.

"Polis melancarkan operasi pada 23 Oktober selepas mendapat maklumat dan mereka ditahan di 11 lokasi di sekitar kawasan MAS Kargo di Sepang, kawasan perumahan di Nilai, Puchong, Sepang dan pasar raya menjual peralatan elektronik di Bukit Bintang," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, sekumpulan penjenayah menyamar sebagai wakil syarikat perkhidmatan pengangkutan untuk melarikan telefon pintar itu dari pusat simpanan kargo di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Syed Ismail berkata, hasil daripada tangkapan itu, polis menemui 71 buah telefon pintar itu manakala selebihnya masih dikesan.

Beliau berkata, dalang sindiket itu adalah petugas sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan yang dipercayai mempunyai maklumat dalaman mengenai telefon pintar itu.

Katanya, polis turut menemui sebuah lori, yang digunakan untuk melarikan telefon pintar terbabit di Sepang dan lori berkenaan dilaporkan dicuri di Brickfields pada 18 Oktober lalu.

Katanya, antara mereka yang ditahan itu terdapat seorang wanita yang membeli 80 telefon pintar itu dengan harga RM104,000 dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga RM1,850 seunit.

Sehubungan itu, polis masih mencari empat lagi suspek kes berkenaan iaitu U Chalan, 23, beralamat No 17, Jalan Cheko, Jalan Klang Lama, di sini, dan N Selvakumar, 32, beralamat PT10642, Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan.

Dua lagi adalah adik beradik lelaki iaitu J Aravindan, 29, dan J Pratib beralamat No 7745, Taman Desa Jasmin 2, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika membeli telefon pintar berkenaan dengan harga murah kerana harga pasaran adalah RM2,299 dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mereka membeli telefon curi.

Mengenai siasatan dua pelajar Malaysia, yang belajar di Singapura dan mengeluarkan gambar dan video lucah mengenai diri mereka, Syed Ismail berkata, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedar bahan lucah dan siasatan dibuat berdasarkan laporan media.

"Sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan terhadap pasangan kekasih itu," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment