My Add

Monday 29 October 2012

Rumah pasang siap dibina hujung tahun depan

SETIU, AHAD, 28 Oktober, 2012: Felda mengenal pasti kawasan seluas 1,600 hingga 2,000 hektar di tanah rancangan itu di seluruh negara bagi melaksanakan projek perumahan secara 'pasang siap' untuk generasi kedua Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, projek berkenaan yang meliputi beberapa kategori kediaman seperti unit banglo, rumah berkembar, teres dan sebagainya dijangka mula dilaksanakan selewat-lewatnya penghujung tahun depan.

Beliau memberitahu, projek itu juga disediakan bagi membolehkan generasi kedua Felda yang terdiri daripada anak-anak peneroka berpeluang menikmati suasana kediaman yang lebih selesa dan kondusif.

Pada masa sama, jelasnya, generasi kedua berkenaan juga akan terus menggalas tanggungjawab untuk menjaga serta mengurus kawasan Felda untuk masa depan generasi seterusnya kelak.

Isa berkata, bagi tujuan itu, kerajaan meletakkan sasaran untuk membina kira-kira 20,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun dengan setiap setahun, sebanyak 4,000 unit kediaman dibina.

"Buat masa ini, kita dah kenal pasti kawasan seluas 4,000 hingga 5,000 ekar (1,600 hingga 2,000 hektar) di tanah rancangan Felda, kita masih kaji di segi kesesuaian tanah ini untuk kita bina rumah," katanya selepas menyempurnakan majlis Korban Perdana dan Penyerahan Dividen Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di pekarangan Masjid Chalok Barat dekat sini hari ini.

Isa bagaimanapun berkata, buat masa ini, kos serta harga jualan rumah berkenaan masih belum diketahui, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan harga yang ditetapkan nanti tidak membebankan pembeli.

Beliau seterusnya berkata, butiran lanjut mengenai projek berkenaan selain durian runtuh untuk warga Felda dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena perasmian Karnival Himpunan Generasi Baru di ibunegara pada 10 November ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment