My Add

Thursday 25 October 2012

Sasar negara 10 paling berdaya saing

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
 KUALA LUMPUR, RABU, 24 Oktober, 2012: Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi antara 10 negara paling berdaya saing di dunia dalam beberapa tahun akan datang sebagai sebahagian daripada pelan ke arah memastikan negara ini muncul negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara mesra pelabur akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa meskipun data terkini Bank Dunia sudah mengiktiraf Malaysia negara ke-12 paling berdaya saing.

"Kami tidak akan berhenti di sini. Kami meletakkan sasaran muncul antara 10 negara paling berdaya saing dalam bidang ekonomi dalam masa beberapa tahun lagi. Matlamat ini sangat penting dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjayakannya.

"Malaysia sebuah negara kecil tetapi jika mahu terus kekal berdaya saing, kita perlu berusaha dan melakukan sesuatu yang jauh lebih hebat berbanding ruang lingkup kita," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2011 di sini malam ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir serta Pengerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri, Tan Sri Azman Hashim.

Dalam laporan terkini Bank Dunia yang didedahkan Mustapa semalam, Malaysia muncul negara ke-12 paling berdaya saing mengatasi negara seperti Sweden, (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).

Menurut Muhyiddin, dalam menjayakan hasrat tersebut, kewujudan syarikat-syarikat berdaya saing yang berteraskan inovasi amat penting kerana mereka mampu menyokong kerajaan dalam usaha untuk menempatkan Malaysia sebagai antara 10 paling berdaya saing.

Dalam pada itu, syarikat ViTrox Technologies Sdn. Bhd. (ViTrox) muncul pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri bagi kategori Perdana Menteri sekali gus membawa pulang wang tunai RM500,000, sebuah trofi dan sijil kemenangan.

Kemenangan itu juga melayakkan ViTrox menggunakan logo anugerah sebagai bahan publisiti untuk tempoh tiga tahun selain diberi keutamaan untuk mendapatkan geran-geran yang disediakan SME Corp. Malaysia.

Pada pertandingan kali ini, sebanyak 205 syarikat telah mengambil bahagian tetapi hanya 21 syarikat sahaja berjaya dipilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Industri bagi tujuh kategori utama yang dipertandingkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment