APMM tambah aset untuk sokong Ops Daulat
KOTA KINABALU, ISNIN, 01 April, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan menerima lima kapal untuk digunakan semasa Operasi Daulat di sekitar perairan Lahad Datu dan Semporna.
Majlis penerimaan kapal tersebut diadakan di jeti Pangkalan TLDM Sepanggar minggu lalu yang disempurnakan Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi.
Kapal berkenaan akan ditempatkan di sekitar kawasan Operasi Daulat yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Kehadiran kapal ini bertujuan menambahkan lagi kekuatan aset sedia ada di samping memperluas skop rondaan dan kawalan di sekitar kawasan operasi.
Selain itu, tujuan penambahan aset dan anggota ini adalah bagi mempertingkat lagi tahap keselamatan serta memastikan tiada penceroboh yang akan terlepas keluar atau masuk dari perairan Malaysia.
Karunanithi dalam kenyataan berkata, semua anggota diingatkan bertugas dengan penuh komitmen dan jangan sesekali mengabaikan keselamatan diri dan negara supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang Operasi Daulat berlangsung.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota yang terbabit kerana memberikan kerjasama yang baik dalam melaksanakan operasi ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment