Keseimbangan modal insan perlu relevan
KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 April, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, modal insan yang seimbang akan membantu memastikan tenaga kerja negara kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, keseimbangan itu juga membolehkan mereka mampu bersaing di persada antarabangsa dalam gelanggang yang lebih luas.
Atas kesedaran itu jelasnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai program bagi memupuk, membangun dan mengekalkan modal insan negara.
''Kerajaan sedar bahawa pembangunan modal insan yang terancang akan melahirkan tenaga kerja berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi. Namun, holistik dalam konteks pembangunan modal insan tidak terbatas kepada disiplin ilmu dan pemantapan kemahiran sahaja.
''Tetapi ia merangkumi aspek pembangunan minda, rohani, sahsiah dan etika. Ini bermakna dalam proses kita membangunkan modal insan, jangan sesekali kita lupa akan pentingnya aspek keinsanan yang perlu dibina menerusi falsafah hidup, pegangan agama dan dukungan moral,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional 2013 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 50 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima Biasiswa Nasional untuk mengikuti pengajian di universiti terkemuka dalam atau luar negara.
Dasar penajaan menerusi Biasiswa Nasional dimulakan pada 2010 dengan kerajaan memutuskan untuk menaja 30 orang lepasan SPM melanjutkan pengajian bagi melahirkan modal insan berkualiti demi menjamin kesinambungan keupayaan negara pada masa hadapan.
Muhyiddin berkata, pembangunan modal insan yang holistik membolehkan transformasi berlaku dalam konteks lebih luas meliputi transformasi individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Beliau memberitahu, cara itu juga akan membantu membina dan melahirkan rakyat berpersonaliti unggul yang seimbang dari segi intelek, rohani, kemahiran, keterampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan mengamalkan nilai-nilai murni.
Dalam pada itu katanya, Biasiswa Nasional merupakan program istimewa dan berprestij yang ditawarkan kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka berdasarkan merit akademik.
''Saya amat berharap agar dasar penajaan ini akan meningkatkan modal insan masa depan yang berkemahiran dan bernilai tinggi serta berupaya menghadapi cabaran persekitaran yang sentiasa berubah.
''Teruskan usaha menimba ilmu kerana pencarian serta penjanaan ilmu bukan sekadar terhad di bangku sekolah sahaja,'' katanya.
Kata Timbalan Perdana Menteri, kerajaan juga telah merangka dua inisiatif iaitu Akselerasi Bakat Di Dalam Perkhidmatan Awam (TAPS) serta Penarikan dan Pengekalan Bakat (STAR) untuk menyediakan peluang kepada penuntut tajaan JPA memajukan kerjaya dalam bidang-bidang utama.
''STAR, sebagai contoh, merupakan inisiatif bersama JPA dan Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp) dan memberi peluang penuntut tajaan JPA berkhidmat dalam syarikat milik kerajaan (GLC) atau swasta terpilih.
''Saya dimaklumkan sehingga kini terdapat 244 buah syarikat dalam pelbagai industri telah menyertai program ini seperti Petronas, Bank Negara Malaysia, Maxis dan Khazanah Nasional,'' ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment