Koperasi ATM serah pampasan RM188,000 kepada keluarga wira negara
PASIR MAS, ISNIN, 01 April, 2013: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (KATMB) menyerahkan pampasan melalui Skim Insurans Takaful Berkelompok ATM sebanyak RM94,000 masing-masing kepada waris keluarga Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Allahyarham Koperal Ahmad Farhan Roslan.
Cek pampasan itu disampaikan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi yang mengunjungi rumah kedua-dua keluarga perwira negara tersebut di Perumahan Desa Darul Naim, Pasir Tumboh dan Kampung Bayu Lalang, dekat sini hari ini.
Allahyarham Ahmad Hurairah diwakili ibu dan bapa beliau, Ismail Hussin, 55, dan Rohaya Mamat, 50, manakala Roslan Hassan, 49, dan Roslawati Ghani, 44, mewakili anak mereka, Allahyarham Ahmad Farhan.
Yang turut hadir, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah, Ahli Lembaga Koperasi Tentera, Leftenan Kolonel Hamisan Mian; Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Sdn. Bhd., Zafri Abdul Halim dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kelantan, Datuk Muhammad Abdul Ghani.
Dalam kunjungan itu, Zafri turut menyampaikan sumbangan syarikat insurans berkenaan sebanyak RM5,000 kepada kedua-dua keluarga perwira negara berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Hasbullah berkata, insiden pencerobohan pengganas kumpulan Kiram di Sabah merupakan sejarah baharu bagi ATM setelah zaman menentang komunis suatu ketika dahulu.
Katanya, beliau dan semua anggota ATM sangat berbangga kerana menjadi sebahagian sejarah negara dalam misi menentang kumpulan pengganas tersebut.
"Kepada anggota yang telah lama berkhidmat, mereka sudah melalui situasi ini semasa menentang komunis dan kita ingat perkara ini sudah tamat apabila komunis meletakkan senjata, tetapi rupa-rupanya masih ada lagi pada era ini.
"Bagi saya ini satu sejarah dan Allahyarham Ahmad Hurairah dan Ahmad Farhan mereka merupakan pahlawan ATM pertama yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara pada era moden ini," katanya.
Dalam pada itu, Ismail ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan pampasan dan pelbagai bentuk sumbangan yang diterima sebelum ini dan akan menggunakannya sebaik mungkin. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment