My Add

Monday, 1 April 2013

Pakatan tidak sepakat pilih calon pilihan raya Parlimen Petra Jaya

KUCHING, isnin, 01 aPRIL, 2013: Perebutan di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS untuk bertanding kerusi Parlimen Petra Jaya menunjukkan tiada persefahaman di antara parti dalam pakatan pembangkang, kata penyandang kerusi itu, Datuk Fadillah Yusof.

Katanya, sehingga kini, parti-parti pembangkang ini masih belum dapat mengenal pasti calon mereka untuk bertanding di kawasan majoriti Bumiputera itu di sini dan di Parlimen Santubong yang sebelum ini ditandingi calon PKR.

"Sudah pasti kita menjangkakan akan ada pertandingan tetapi mereka (pembangkang) masih belum dapat lagi untuk mencapai persetujuan konkrit siapa (parti pembangkang mana) yang patut bertanding. Saya rasa pakatan ini tidak dapat berpakat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia untuk Parlimen Petra Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, apa yang berlaku di kalangan parti pembangkang ini tidak begitu penting baginya berbanding dengan tumpuan usaha untuk memastikan rakyat di Petra Jaya mendapat perkhidmatan terbaik daripada beliau.

"Saya dipilih oleh pengundi di Petra Jaya untuk menjadi wakil rakyat mereka dan semestinya itulah tanggungjawab utama saya untuk memberikan yang terbaik kepada mereka," katanya.

Fadillah, yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), berkata kejayaan kerajaan Barisan Nasional membawa pembangunan di Parlimen Petra Jaya selama ini menyebabkan hampir tidak ada isu pembangunan yang boleh dimainkan pembangkang di kawasan itu.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan baru-baru ini bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lagi jambatan merentasi Sungai Sarawak ke Petra Jaya dari bahagian selatan bandar raya Kuching yang dijangka menelan kos RM140 juta bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Selain itu, perancangan besar lain yang sudah diluluskan termasuk pembinaan sebuah hospital baru dan pewujudan daerah polis baru untuk Petra Jaya.

Menyentuh persiapan program Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Petra Jaya, Fadillah berkata kira-kira 15,000 orang dijangka mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 April ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment