My Add

Tuesday, 2 April 2013

Penyelesaian pengiktirafan UEC

Oleh THOMAS CHONG

 *NAJIB Tun Razak bersama ahli-ahli Dong Zong yang diketuai Yap Sin Tian
 (dua, kanan) ketika menerima kunjungan ahli-ahli pertubuhan itu di pejabatnyadi Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN, 01 April, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat usul serta mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima semua pihak mengenai pengiktirafan Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC).

Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong hari ini dan masing-masing bertukar-tukar pandangan mengenai usaha menambah baik pendidikan Cina di negara ini.

''Perjumpaan hari ini antaranya menyentuh tentang isu pengiktirafan UEC, yakni berkait dengan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

''Perbincangan dibuat mengenai pelajar dari sekolah Cina perlu memiliki sekurang-kurangnya kredit mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta UEC sebagai syarat permohonan ke IPTA.

''Terdapat juga perbincangan mengenai isu akreditasi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC," katanya dalam kenyataan bersama dengan Dong Zhong yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Dong Zong, Dr. Yap Sin Tian berkata, pertemuan kira-kira sejam dengan Perdana Menteri hari ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat julung kalinya kenyataan bersama telah dikeluarkan.

''Pengeluaran kenyataan bersama adalah bertujuan mengelakkan kenyataan yang berbeza-beza," katanya.

Sin Tian berkata, pihaknya bagaimanapun tidak boleh mengumumkan hasil yang muktamad mengenai pengiktirafan UEC kerana masih terdapat isu teknikal khususnya membabitkan akreditasi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC yang perlu diselesaikan.

''Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau akan bermesyuarat dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi secepat mungkin.

''Kalau peranan Dong Zhong diperlukan, maka kita juga bersedia untuk menghantar wakil ke mesyuarat berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment