My Add

Tuesday 8 November 2011

Adakan pilihan raya lepas tambah baik proses pemilihan: Ku Li

Tengku Razaleigh
SELASA, 08 November, 2011: Pilihan raya umum akan datang hanya patut diadakan selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) selesai jalankan tugas dan saranannya dilaksana. 

Ketika membuat saranan itu hari ini, Presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH), Tengku Razaleigh Hamzah juga berharap jawatankuasa tersebut dapat menyelesaikan tugas mereka secepat mungkin.

"Kami mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membawa ke parlimen idea menambah baik proses pilihan raya dengan mengambil kira pandangan masyarakat," kata Anggota Parlimen Gua Musang itu kepada pemberita, di sini.

Lebih dikenali sebagai Ku Li, veteran UMNO itu juga berharap pandangan umum berkenaan dapat membantu Parlimen melakukan penambahbaikan pada proses pemilihan dalam memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, lapot Bernama.

Hadir sama Timbalan Presiden Amanah iaitu bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam. 

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembentukan PSC dalam usaha menambah baik proses pilihan raya dan mengukuhkan undang-undang serta peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini. 

Mengenai penubuhan AMANAH, Tengku Razaleigh berkata entiti itu adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO), bukan parti politik.

"Ketika kita lancarkan AMANAH pada Julai lalu, kita lakukannya dengan (status) NGO, bukan parti politik. Ini akan kekal sehingga kami membuat keputusan lain," katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai NGO, anggota Amanah mempunyai platform yang lebih luas untuk meluahkan pandangan mereka berkenaan isu berkaitan kepentingan umum. 

AMANAH dilancarkan di sini pada 22 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment