My Add

Sunday 13 November 2011

APEC: PM akan berkongsi dasar

NAJIB bersama isteri, Rosmah Mansor melihat persembahan tarian Hawaii sejurus tiba di hotel penginapan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii, semalam. – BERNAMA


AHAD, 13 November. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di sini Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diberi penghormatan untuk mengetengahkan wawasan beliau mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Najib yang memperkenalkan gagasan GMM bagi menentang fahaman pelampau dan menjadi penghubung antara dunia Islam dan Barat akan bercakap mengenainya pada Sabtu dalam forum khusus anjuran East-West Center (EWC), badan pemikir yang ditubuhkan oleh Kongres Amerika Syarikat (AS) pada 1960.

Menurut laporan Zulkefli Hamzah, forum itu dijangka dihadiri oleh lebih 300 peserta terdiri daripada kalangan pemikir, pemimpin badan bukan kerajaan dan pelajar. EWC merupakan antara badan antarabangsa berprestij yang aktif mengetengahkan isu Asia Pasifik di AS.

Ini merupakan satu lagi kejayaan Malaysia dalam mempromosi GMM setelah ia diterima oleh negara-negara anggota Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) pada mesyuaratnya di Perth, bulan lalu.

Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Pangkalan Tentera Udara Hickam berhampiran Pearl Harbour di sini pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.

Ketibaan beliau dan isteri disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Dalam pada itu, pada Sidang Kemuncak APEC kali ini, Najib akan berkongsi dasar dan pendekatan untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui pelbagai program transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri juga akan menekankan pentingnya pasaran ekonomi Asia Pasifik dibuka kerana dasar perlindungan sesetengah negara boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global yang kini dilihat semakin memburuk terutama di negara-negara Eropah.

Najib turut menghadiri mesyuarat pemimpin tertinggi Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang membincangkan isu-isu liberalisasi perdagangan antaranya mengenai hasrat Jepun, Kanada dan Mexico menyertai rundingan TPP.

TPP dianggotai oleh New Zealand, Chile, Singapura, Brunei, AS, Australia, Peru, Vietnam dan Malaysia yang diterima sebagai negara anggota penuh rundingan pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan negara baru termasuk Jepun yang merupakan kuasa besar ekonomi walaupun mendapat bantahan daripada industri pertanian negara itu.

Bagaimanapun katanya, penyertaan negara baru dalam TPP harus memenuhi syarat persetujuan semua negara dan penyertaannya pula tidak akan melambatkan proses liberalisasi perdagangan antara negara anggota yang kini telah berunding sebanyak sembilan kali.

Mengenai Rundingan Doha dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WHO) ke arah liberalisasi pasaran dunia yang terbantut hampir 10 tahun, Mustapa berkata, mesyuarat Menteri Perdagangan APEC yang berakhir hari ini mahu rundingan itu diselamatkan.

Katanya, beberapa negara termasuk Malaysia dan Australia telah bersetuju untuk bertemu, khusus bagi mencari jalan penyelesaian konkrit sebelum Persidangan Peringkat Menteri Kelapan (8MC) pada 14-16 Disember ini.

“Kita harap kali ini berjaya, kita harap Rundingan Doha tidak terus menjadi omong kosong sahaja,” kata beliau sambil menambah, mesyuarat turut mencadangkan agar cara baru diambil bagi menjayakan rundingan itu termasuk melalui pendekatan sektoral. 

No comments:

Post a Comment