My Add

Sunday 13 November 2011

Sokong pinda AUKU tapi benar pelajar aktif berpolitik di luar

AHAD, 13 November, 2011: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dipinda dengan memberi kebenaran kepada pelajar universiti untuk terbabit dalam kegiatan politik di luar kampus sahaja. 

Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Hwong Yie Hahn berkata, sudah tiba masanya pelajar universiti di negara ini diberi kelonggaran berpolitik namun pada masa sama tidak menjejaskan peranan universiti sebagai pusat pengajian ilmu.

"Kerajaan patut meminda Seksyen 15 AUKU untuk menghalang kemasukan unsur politik ke dalam kuliah dan kampus tetapi pada masa sama, memberi kelonggaran kepada pelajar universiti untuk berpolitik di luar kampus," katanya kepada Bernama di Kota Samarahan, hari ini.

Sambil memberi sokongan penuh pindaan AUKU, Hwang berkata, majoriti pelajar universiti kini golongan muda yang layak mengundi dan perlu diberi peluang untuk bersuara dalam pentas politik. 

"Kepercayaan patut diberi kepada pelajar universiti untuk mencari keseimbangan antara masa berpolitik dan masa belajar," katanya sambil menambah pembangunan holistik pelajar juga diperlukan untuk mengeluarkan graduan yang berkualiti termasuk mempunyai pengetahuan dan pendapat mengenai isu-isu politik. 

Hwang juga menolak tanggapan jika pelajar universiti dibenarkan berpolitik, ia bakal mengugat perpaduan di dalam universiti kerana undang-undang sedia ada boleh menangani masalah tersebut sekira ada cubaan untuk menimbulkan gangguan ketenteraman awam. 

"Isu politik tidak semata-mata merangkumi politik parti sahaja, terdapat pelbagai isu-isu politik yang boleh disuarakan dan dibicarakan oleh pelajar sebagai golongan intelektual yang mampu menjadi pemangkin kemajuan kepada negara," katanya.

Dari segi kebebasan bersuara di Unimas, beliau berkata, setakat ini tiada sekatan kerana pelajar bebas untuk mengutarakan pelbagai isu kepada MPP Unimas untuk dibawa ke pihak pengurusan dan MPP Unimas juga bebas menganjurkan mesyuarat bersama pihak pengurusan UNIMAS untuk bersama-sama menyelesaikan isu kebajikan pelajar. 

"Unimas mempunyai Fakulti Sains Sosial yang aktif dan pelajar tidak disekat daripada menyuarakan pendapat mengenai isu politik jika berada dalam konteks akademik dan berhubung dengan pengajian atau penyelidikan pelajar terbabit," katanya. 

Beliau berkata, keterbukaan Unimas juga terbukti dengan mewujudkan sudut pidato namun ia tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar. 

"Kami dalam proses untuk menghidupkan semula sudut pidato di UNIMAS melalui proses memperkasa bakat pidato di kalangan pelajar dan pada masa yang sama menggalakkan mahasiswa menyuarakan pendapat mereka secara terbuka di arena pidato," katanya. 

Laporan media hari ini memetik dua MPP iaitu dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak bersetuju pindaan AUKU. 

Presiden MPP USM Muhammad Idzuan Jamaluddin dipetik berkata, pindaan itu bakal menjejaskan pembelajaran di kampus manakala Presiden MPP UPM Iqbal Ismat Nordin menyatakan sokongan dengan memberi alasan yang sama.

No comments:

Post a Comment