My Add

Thursday 10 November 2011

AUKU boleh dipinda: Muhyiddin Yassin

KHAMIS, 10 Nvember, 2011: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) boleh dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa "digagahi" oleh pihak lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum ini, kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 disebabkan oleh beberapa insiden, dan pengenalan akta itu ialah supaya pelajar dapat menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran di universiti serta kolej dan tidak “diganggu” dengan kegiatan luar.

“Saya nak soal balik? Adakah anda sudah bersedia atau tidak? (terbabit dalam politik dan pada masa sama tumpukan terhadap pelajaran). Kalau ya, kenapa tidak. Mungkin kerajaan tak perlu akta (AUKU) kot atau pun kita meminda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa digagahi oleh mana-mana suatu kuasa perundangan.

"Ini kerana saudara dan saudari sudah kata tahu apa yang patut dibuat dan kerajaan tidak perlu bimbang bahawa kami (mahasiswa) akan menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran. Ini pandangan kasar saya," katanya apabila diminta memberi pandangan pada sesi soal jawab sempena Konvensyen Integriti Nasional di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun, mempersoal sama ada mahasiswa sudah bersedia dan cukup matang untuk membuat keputusan sendiri yang bijaksana tanpa dipengaruhi oleh pihak lain.

"Kalau pelajar hari ini kata kami bersedia, kami sangat matang dan boleh membuat keputusan mengenai apa yang baik untuk kami, kami tidak perlukan sesiapa untuk mengawal kami. Kita tidak perlu apa-apa kekangan, kita tidak akan melakukan sesuatu yang tidak memanfaatkan kita," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang membimbangkan masyarakat ialah pembabitan mahasiswa dalam politik akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

"Ini akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat dan menjadikan kampus gelanggang politik yang tidak membawa hasil dalam usaha melahirkan sumber manusia berilmu," katanya.

Organisasi belia perlu sensitif budaya masyarakat

Berucap menutup Konvensyen Integriti Nasional 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, Muhyiddin berkata, sangat penting bagi semua pihak sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta merangka aktiviti-aktiviti membentuk belia yang substantif dan bersesuaian dengan acuan budaya dan masyarakat Malaysia.

Katanya, pelaksanaan acara-acara seperti kesedaran hubungan sesama gender atau Program Seksualiti Merdeka seperti yang dicadangkan baru-baru ini, amatlah tidak selaras dan bertentangan dengan kehendak dan keperluan agama, bangsa dan negara ini.

Beliau berkata, program seumpama itu tidak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara khususnya dalam usaha membentuk peribadi, personaliti dan nurani generasi muda yang baik, berintegriti dan bermoral tinggi.

"Saya teramat berharap organisasi-organsasi belia di dalam negara sentiasa sensitif kepada budaya masyarakat Malaysia,” katanya lagi.  - 

No comments:

Post a Comment