My Add

Monday 7 November 2011

Bertindak sebelum ada penentang ikut undang-undang rimba

ISNIN, 07 November, 2011: Tindakan penganjur program mempromosikan seks bebas Seksualiti Merdeka 2011 yang mempertahankan pendirian mereka memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini perlu ditentang habis-habisan berlandaskan undang-undang.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, kemarahan umat Islam di negara ini terhadap isu tersebut semakin membuak-buak apabila tiada tindakan tegas dilakukan terhadap penganjur.

Kata beliau, sekiranya tiada tindakan tegas diambil khususnya daripada Peguam Negara terhadap mereka ini, dikhuatiri akan muncul golongan yang menentangnya dengan cara di luar batas undang-undang.

"Mengapa masih tiada tindakan tegas terhadap bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang menjadi dalang dalam hal ini? Sedangkan sejak penganjuran perhimpunan haram Bersih 2.0 dulu, dia masih bebas walaupun lebih 1,000 aduan polis dibuat terhadapnya.

"Kami yakin polis sudah jalankan siasatan, tetapi tiada tindakan. Jadi jangan sampai ada golongan yang menentang mereka ini dengan mewujudkan undang-undang rimba pula,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan penganjur terbabit yang masih ingin memperjuangkan hak golongan LGBT di negara ini.

Menurutnya, beliau yakin golongan itu menjadi berani melahirkan pendirian tersebut disebabkan tiada tindakan tegas oleh kerajaan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, segala ruang bagi golongan ini untuk meneruskan niat mereka perlu dihapuskan segera.

"Sekarang mereka seolah-olah sudah berjaya membawa isu ini kepada masyarakat apabila ia mendapat liputan meluas media. Jadi ambil tindakan supaya ia terhenti di sini sahaja.

"Jika tidak, ia akan menjadi ancaman kepada generasi akan datang,'' katanya.

Menurut beliau, perbuatan mereka yang berdegil ini memang sudah dijangka kerana niatnya memang mahu memporak-perandakan negara.

"Selepas ini mereka akan terus menekan pihak berkuasa dengan mencari kelemahan undang-undang atau mengangkat isu berkaitan supaya hasrat mereka berjaya. Maka inilah masanya untuk kita bertegas dan bertindak,'' katanya.

Didik mereka kembali ke pangkal jalan

Orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya mendekati golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) bagi mendidik mereka meninggalkan perbuatan keji dan bukannya menyokong aktiviti mereka.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perbuatan NGO menggalakkan golongan itu, kononnya bagi menegakkan hak manusia sejagat seharusnya tidak berlaku kerana ia bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara.

Namun pada masa yang sama katanya, golongan LGBT ini tidak boleh dipinggirkan atau dihina, sebaliknya orang ramai terutamanya NGO perlu menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat nasuha.

"Jangan benarkan seks bebas kerana ia bukan sahaja ditentang oleh Islam dan agama lain, malah ia akan menjejaskan dasar jati diri negara dalam konteks perkara tiga Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

"Justeru, badan agama dan kebajikan seharusnya mendekati kumpulan ini dalam konteks ini bagi mendidik mereka meninggalkan perbuatan keji itu," katanya. 

Beliau mengulas tindakan penganjur program mempromosikan seks bebas Seksualiti Merdeka 2011 yang terdiri daripada 20 NGO dan individu yang tetap mempertahankan tindakan mereka untuk memperjuangkan hak LGBT di negara ini.

No comments:

Post a Comment