My Add

Monday 7 November 2011

Boleh bincang isu keselamatan negara

ISMAIL (tengah) bersama nazir masjid, Zulkifli Ahmad (kanan) dan penduduk serta anggota polis turut melapah daging lembu ibadah korban sempena Aidiladha di Masjid Taman Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, semalam.

ISNIN, 07 November, 2011: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan beliau hanya akan berjumpa penganjur program mempromosikan seks bebas, Seksualiti Merdeka 2011, sekiranya mereka ingin membincangkan isu keselamatan negara.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa terbuka dan tidak menghalang sesiapa sahaja berjumpa tanpa mengira status, latar belakang dan ideologi.

"Sesiapa sahaja boleh berjumpa saya tetapi mesti atas sebab wajar. Jika mahu sembang-sembang kosong sahaja buat apa.

"Sebagai contoh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Rukun Tetangga kawasan yang mahu berjumpa untuk berbincang isu ketenteraman awam, keselamatan negara, saya memang mengalu-alukan," katanya.

Ismail berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis korban Aidiladha bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, semalam.

Wartawan Utusan Malaysia, Wan Noor Hayati Wan Alias melaporkan, Ismail mengulas kenyataan penganjur Seksualiti Merdeka 2011 yang sedia menghentikan program itu berikutan kecaman dan bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil- wakil agama.

Menurut kenyataan disiarkan dalam laman web program itu, ia dilakukan demi keselamatan semua yang bakal hadir selain akan cuba bertemu dengan Ismail untuk menerangkan tujuan sebenar.

Sementara itu, Ismail mengesahkan program Seksualiti Merdeka 2011 telah dihentikan namun akan terus memantau dari semasa ke semasa.

"Saya difahamkan, sejak semalam beberapa individu dipercayai berkaitan dengan penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 sudah diambil keterangan. Beri peluang kepada polis menjalankan siasatan berhubung isu ini," katanya.

Sementara itu, sehingga petang ini, polis menerima 54 laporan daripada orang ramai di seluruh negara, yang terus membantah penganjuran program seks bebas berkenaan.

No comments:

Post a Comment