My Add

Sunday 6 November 2011

DAP mahu kurangkan penguasaan Melayu: Perkasa

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcS9NV-u_eHbsVjAsY0VXfiLpsZ_-H4qgcAx3MnkwZlOe6QlaRA62Q
Ibrahim Ali
AHAD, 06 November. 2011: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yakin hasrat DAP mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam bukan disebabkan faktor ekonomi semata-mata.

Sebaliknya tegas Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, ia merupakan agenda politik untuk mengurangkan pengaruh orang Melayu dalam sektor kerajaan.

"DAP ada niat tersirat di sebalik hasrat mereka itu. Kita kenal siapa DAP dan dakwaan bahawa ia demi kepentingan ekonomi hanyalah sandiwara semata-mata," katanya kepada Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua yang disiarkan akhbar berbahasa Cina pada 1 November lalu bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan kakitangan kerajaan dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, hasrat DAP itu merupakan ugutan terhadap kakitangan awam.

"Ini merupakan satu bentuk politik ugutan terhadap kakitangan awam. Justeru, saya menyeru semua penjawat awam supaya menolak kumpulan politikus berkenaan yang semakin mabuk mahu mendapatkan kuasa," jelasnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah tidak terkejut dengan hasrat DAP itu kerana percaya memang wujud gerakan halus seperti berlaku Pulau Pinang.

"Saya pasti ini strategi DAP untuk memastikan mereka terus berkuasa serta membentuk legasi pemerintahan khususnya di Pulau Pinang," jelasnya

Pas anggap kenyataan Tony Pua bersifat peribadi

Pas menganggap kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua bahawa parti itu akan mengurangkan jumlah kakitangan awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien hanyalah bersifat peribadi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, sehingga hari ini parti pembangkang tidak pernah membuat ketetapan mengenai perkara itu dalam mana-mana mesyuarat atau pertemuan.

Sehubungan itu, beliau mahu semua kakitangan kerajaan tidak bimbang dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu kerana ia bukan pendirian rasmi pihak pembangkang.

“Saya perlu memberi respons tentang isu ini kerana ia bukan pendirian rasmi pihak pembangkang, sebaliknya bagi saya ia hanya merupakan pendirian peribadi Tony Pua,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kurangkan penjawat awam langkah ke belakang

Hasrat DAP untuk mengurangkan bilangan penjawat awam jika dipilih sebagai pemerintah bagi meringan beban kewangan kerajaan adalah satu langkah ke belakang.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sesebuah kerajaan yang baik akan berusaha mencari penyelesaian mengurangkan bebanan kewangan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

“Sekiranya mereka takut untuk berhadapan dengan beban, tidak perlulah menubuhkan kerajaan kerana sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mentadbir dan mencari penyelesaian terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Sebagai kerajaan yang baik, sepatutnya mereka (DAP) mencari jalan untuk menambahkan pendapatan negara bagi menampung bebanan yang semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua yang disiarkan baru-baru ini dalam sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Omar berkata, pengurangan bilangan penjawat awam itu tidak menjamin beban kewangan kerajaan akan berkurangan.

“Kerajaan mungkin akan berdepan dengan masalah pengangguran pula apabila ramai penjawat awam yang diberhentikan,” ujarnya.

Beliau menambah, perbandingan yang dilakukan oleh Pua dengan negara-negara jiran juga adalah tidak sesuai.

“Sistem negara mereka berbeza jadi sudah pasti cara kerja, tanggungjawab sosial dan integriti mereka tidak sama dengan kita.

“Lagipun sektor awam kita sudah diakui berada di tahap terbaik di antara negara-negara Asia dan dunia,” tegasnya.

Omar berkata, ahli politik tidak sepatutnya menjadikan penjawat awam sebagai modal dalam manifesto politik masing-masing.

No comments:

Post a Comment