My Add

Sunday 6 November 2011

Seksualiti Merdeka dibatalkan

AHAD, 06 November, 2011: Kesudahannya program untuk mempromosi seks bebas menerusi Seksualiti Merdeka 2011 terpaksa dibatalkan. 

Demikianlah kesan bantahan dan hasil desakan rakyat, termasuk wakil-wakil agama.

Penganjur program itu berkata pembatalan dilakukan demi menjaga keselamatan semua yang bakal hadir acara awam.

KPN sdia bertemu penganjur 

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sedia bertemu dengan penganjur program tersebut untuk mendengar penjelasan mereka berhubung penganjurannya.

"Saya tiada masalah untuk berjumpa (dengan penganjur). Saya boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja asalkan ada tujuan... sebab kita bercakap soal keamanan. 

"Saya tidak mahu tanggung apa-apa risiko yang boleh gugat keamanan negara,” kata beliau bila ditemui pemberita hari ini, selepas menghadiri majlis korban Hari Raya Aidiladha di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan media semalam, pihak penganjur berhasrat untuk berjumpa dengan Ismail bagi menerangkan tujuan sebenar program berkenaan.

Menurut kenyataan itu, penganjur sedih dan terkilan apabila orang ramai termasuk wakil rakyat memilih untuk terus menganiaya, mencaci dan bersangka buruk berhubung acara-acara anjuran mereka.

Ismail berkata polis bagaimanapun tetap akan menyiasat penganjuran program itu mengikut sistem dan lunas undang-undang yang sedia ada.

Mengulas mengenai penganjur, termasuk membabitkan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S.Ambiga yang akan diambil keterangan merka, Ismail berkata pihaknya tetap mengambil keterangan daripada mereka dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan berhubung program terbabit.

"Ambiga dan lain-lain penganjur diarah untuk diambil keterangan. Saya telah menyerahkan kepada pegawai saya untuk siasat,” katanya.

Program seumpama itu diadakan buat kali keempat sejak 2008, sepatutnya bermula 2 hingga 13 November tidak diteruskan oleh penganjur selepas mendapat tentangan hebat pelbagai pihak kerana programnya didakwa memperkasakan hak golongan lesbian, biseksual, gay dan transeksual di negara ini. 

Bagaimapun, menurut laporan Abdul Halim Hadi Talib dalam Mingguan Malaysia hari ini. penganjur yang terdiri daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan dan individu tetap mempertahankan tindakan mereka.

Alasan mereka ialah memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini yang dianggap hak manusia sejagat.

"Kami tetap bertekad untuk mewujudkan lingkungan kondusif yang akan membantu mengurangi kebencian tak berasas seperti hasutan ketakutan dan paranoia, yang disebabkan oleh kurangnya pemahaman bahawa isu-isu seksualiti sebenarnya adalah isu hak asasi manusia," kata kenyataan penganjur menerusi www.seksualitimerdeka.org.

Khamis lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharamkan penganjuran program itu yang bermula pada 1 hingga 13 November kerana dianggap bertentangan dengan agama dan moral kemanusiaan.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjur turut menyelar kerajaan berhubung pengharaman program yang dikatakan sebagai menafikan hak golongan LGBT di negara ini.

"Kerajaan Malaysia seharusnya menyelar apa jua bentuk diskriminasi, stigma dan ancaman keganasan atau bunuh atas nama agama atau sistem kepercayaan; dan menghormati hak asasi golongan LGBT sebagai hak asasi manusia sejagat.

"Kerajaan juga harus menghormati hak kami untuk menganjurkan forum, bengkel dan pertunjukan secara aman," menurut kenyataan itu.

Penganjur mendakwa, tindakan pengharaman itu sebaliknya akan meminggirkan lagi golongan warga Malaysia (LGBT) yang telah sedia menderita akibat dipinggir masyarakat.

"Golongan LGBT harus dihormati sebagai manusia dan perbezaan mereka tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk melanggar hak-hak mereka.

"Hak-hak seksual adalah hak asasi manusia sejagat berdasarkan kebebasan, maruah dan kesamarataan semua manusia," katanya.

Penganjur mendakwa program Seksualiti Merdeka yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun selama ini tidak pernah dihalang oleh mana-mana pihak.

Gesa lucut kerakyatan Ambiga 

Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula berpendapat S. Ambiga wajar dikenakan hukuman berat seperti dilucutkan kerakyatan kerana tindakan beliau yang dilihat semakin 'menggila' dan boleh menghuru-harakan masyarakat di negara ini.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Ambiga sudah 'naik lemak' dengan sikapnya yang semakin melampau dan perkara itu perlu dipandang serius oleh kerajaan.

"Orang seperti Ambiga ini tidak layak digelar manusia kerana dia sendiri telah melanggar norma-norma manusia apabila dengan lantang mahu menyuarakan hak-hak yang sepatutnya tidak perlu ditimbulkan.

"Jadi, beliau perlu dikenakan hukuman yang sewajarnya seperti dibuang negara atau apa jua jenis hukuman yang berat yang mampu membuatkan Ambiga menyedari kesilapannya," ujarnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ambiga yang menyokong program mempromosi seks bebas Seksualiti Merdeka iaitu membela nasib pengamal seks songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT) di negara ini.

Malah, tambah Syed Anuar, bukan sahaja kerajaan, tetapi Majlis Raja-Raja juga berhak untuk memutuskan hukuman yang patut dikenakan memandangkan Ambiga telah menyentuh isu keagamaan apabila mahu menyebarkan isu moraliti yang dilarang oleh Islam.

"Walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, tetapi itu tidak bermakna ia memberi kebebasan kepada Ambiga untuk bermaharajalela dengan ideologi songsangnya yang kian melampau," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, Ambiga disifatkan sebagai seorang individu yang mencari populariti murahan dengan mengetengahkan isu-isu yang tidak pernah diduga akal.

"Justeru, beliau tidak perlu dihormati oleh sesiapa pun malah patut dipinggirkan atau dibuang negeri.

"Jika Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) masih wujud, beliau wajar ditahan di bawah akta tersebut," ujar Mohamed Maliki.

Menurut beliau, kerajaan perlu memikirkan mekanisme tepat untuk mendakwa Ambiga yang dilihat semakin meliar.

No comments:

Post a Comment