My Add

Thursday 24 November 2011

Enam program impak tinggi rangsang pertumbuhan PKS: PM

Najib Tun Razak
PUTRAJAYA, RABU, 23 November, 2011: 
DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam program berimpak tinggi bagi mencapai sasaran pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada 8.7 peratus setahun menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, sasaran pembangunan PKS itu mampu dicapai berbanding 6.5 peratus pada masa ini, melalui intervensi fasa kedua Pelan Induk PKS bagi tempoh 2012 sehingga 2020.

Beliau berkata, enam program berkenaan merupakan antara 32 tindakan utama yang akan diperkenalkan oleh kerajaan bagi mencapai matlamat yang disasarkan itu.

"Kita tetapkan bahawa Pelan Induk PKS yang baharu, fasa kedua ini sehingga 2020. Objektifnya untuk mencapai peratus pembangunan (PKS) sebanyak 8.7 peratus setahun.”

"Ini berbeza dengan pembangunan biasa kalau tiada intervensi kerajaan,(iaitu) PKS dijangka berkembang 6.5 peratus setahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (MPPK) di pejabatnya di sini hari ini.

Najib berkata, enam program itu ialah dengan memperkenalkan integrasi pendaftaran dan pelesenan penubuhan perniagaan yang bertujuan mewujudkan satu pusat pendaftaran tunggal melalui penghubungan sistem semasa iaitu Sistem Pendaftaran Perniagaan (MyCoID) dan Sistem Pelesenan Perniagaan (BLESS).

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan memperkenalkan platform pengkomersilan teknologi, iaitu sebuah rangkaian platform kebangsaan yang diuruskan oleh sektor swasta bagi mempromosikan idea yang inovatif bermula dari peringkat pembuktian konsep ke peringkat pengkormersilan.

Inisiatif lain, katanya termasuk memperkenalkan Program Pelaburan PKS yang menyediakan pembiayaan kewangan peringkat awal yang disalurkan melalui syarikat pelaburan kepada PKS yang berpotensi.

Katanya Program “Going Export” pula menawarkan khusus kepada pengeksport dan PKS yang menceburi pasaran baharu di luar negara, di samping Program Pemangkin, yang bertujuan mewujudkan juara tempatan melalui pendekatan yang lebih tertumpu dengan sokongan dalam bidang pembiayaan, akses kepada pasaran dan pembangunan modal insan.

Inovasi Keterangkuman pula direka khusus bagi membolehkan golongan 40 peratus berpendapatan terendah memanfaatkan inovasi dalam menggalakkan transformasi komuniti termasuk perusahaan mikro di kawasan luar bandar melalui

“handholding” serta sokongan teknikal dan pengurusan, katanya.

Perdana Menteri berkata pembangunan PKS amat penting kerana 99 peratus jenis perniagaan di negara ini, merupakan sumbangan daripada sektor berkenaan.

Dengan mencapai matlamat pembangunan PKS itu, katanya ianya akan memenuhi sasaran makro seperti yang ditetapkan di dalam pelan induk tersebut, iaitu meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 32 peratus pada 2010 kepada 41 peratus pada 2020.

Sumbangan PKS kepada guna tenaga pula disasarkan meningkat kepada 62 peratus berbanding 59 peratus pada masa ini di samping sumbangan PKS kepada eksport disasarkan meningkat daripada 19 peratus kepada 25 peratus, katanya.

Perdana Menteri berkata walau pun negara telah mencapai kejayaan dalam membangunkan PKS, namun beberapa langkah positif dan berani perlu dilaksanakan bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang setanding dengan negara maju lain.

“Kita ambil maklum bahawa dari segi negara-negara maju, produktiviti PKS kita masih rendah umpamanya produktiviti kita sebanyak US$15,000 tetapi negara maju lain, mereka mencapai produktiviti yang jauh lebih tinggi... ada empat, lima kali ganda,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan produktiviti PKS daripada RM47,000 pada 2010 kepada RM91,000 pada 2020.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat hari itu juga menetapkan bahawa SME Corporation (SME Corp) akan bertindak sebagai nadi dan agensi utama untuk menyelaras dan mengambil tindakan mengenai pembangunan PKS.

Ini kerana, katanya bagi memastikan pelan induk itu berjaya, maka cabaran yang paling besar ialah menyelaraskan segala tindakan yang dilakukan oleh pelbagai kementerian dan agensi yang ada kaitan dengan pembangunan PKS.

“Pada masa ini, terdapat 56 buah kementerian dan agensi yang ada kaitan dengan pembangunan PKS. Justeru, satu kajian semula akan dilakukan dan peranan SME Corp akan diperkukuh dan ditingkatkan dengan diberi kuasa dan “empowerment"
yang lebih.

“Di samping itu, segala program yang dilakukan oleh 56 buah agensi dan kementerian ini akan dikaji semula bagi mengelak pertindihan dan menentukan peranan mereka lebih terselaras dan fokus,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment