My Add

Monday 7 November 2011

Exora REEV bolot dua anugerah di United Kingdom














KREW Proton menunjukkan isyarat 1Malaysia sambil melaungkan Malaysia Boleh! selepas semua jentera elektrik Proton berjaya menamatkan cabaran FCCBTL-RAC di St. James Square, London, kelmarin. – Utusan/MOHD. HAZLI HASSAN

Oleh Mohd. Hazli Hassan
ISNIN, 07 November, 2011: Kereta elektrik jarak tambahan nasional (REEV), Proton Exora REEV berjaya dua tahun berturut-turut memenangi anugerah pada Cabaran Kereta Masa Depan Brighton ke London RAC (FCCBTL-RAC) semalam.

Lebih menarik, Exora REEV bukan hanya memenangi anugerah Kereta Pelbagai Guna Cekap Tenaga terbaik, malah ia juga turut berkongsi anugerah Kenderaan Elektrik Jarak Tambahan (E-REV) keseluruhan terbaik dengan jenama terkemuka pembuat kereta global, Toyota.

Kejayaan kali kedua itu turut menjadi lebih manis selepas Jurutera Perisian Bahagian Komponen dan Pentauliahan, Jabatan Teknologi Hijau Proton, Rozadatul Intan Safrina Che Rus berada di dalam kenderaan yang sama tahun lepas untuk memenangi anugerah berkenaan buat kali kedua.

Menurut Rozadatul Intan Safrina, beliau tidak menyangka dapat memenangi anugerah tersebut selepas perlumbaan tamat semalam ekoran mengalami masalah teknikal di peringkat terakhir perjalanan sebelum melintasi garisan penamat.

Beliau yang terkejut dengan kejayaan itu berkata, masalah itu turut menyebabkan Exora REEV yang dipandu jurutera Frazer-Nash Research Limited (Frazer-Nash), Pavol Biro berhenti secara tiba-tiba kira-kira beberapa kilometer dari garisan penamat yang menyebabkan kerugian masa.

“Kereta berhenti secara tiba-tiba. Cubaan untuk menghidupkan kereta tidak berjaya namun selepas 10 minit, ia berjaya dihidupkan untuk kami meneruskan perjalanan ke garisan penamat.

“Ketika itu perasaan berbaur sedih dan hampa kerana yakin tidak dapat mempertahankan kejayaan 2010 ekoran masalah tersebut,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis penyampaian anugerah FCCBTL-RAC di Bangunan Kelab Automobil Diraja United Kingdom (RAC-UK), di London, semalam.

FCCBTL-RAC yang kini sudah berusia 115 tahun sebelum ini hanya menjadi medan cabaran perjalanan bagi kereta vintaj sejauh 92 kilometer dari Brighton ke London, namun diperluaskan bagi pembuat kereta global dan persendirian untuk mempamerkan produk dan prototaip kereta elektrik dan jimat tenaga sejak tahun lepas.

Pada edisi pertama 2010, Proton Exora REEV berjaya memenangi anugerah Kenderaan Elektrik Jarak Tambahan (R-EV) keseluruhan terbaik pada cabaran yang disertai oleh 63 pembuat kereta.

Selain Exora REEV, pada cabaran edisi 2011 yang disertai oleh 70 peserta itu, Proton Holdings Bhd. (Proton) turut mempertaruhkan buat kali kedua kemampuan kereta elektrik (EV), Proton Saga EV termasuk Proton Persona Elegance REEV.

Lebih menarik, keseluruhan komponen elektrik dan perisian Pesona Elegance REEV dipasang sepenuhnya oleh jurutera tempatan Proton.

Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan menyatakan rasa amat gembira dengan kejayaan yang dicatatkan Exora REEV itu.

Kata beliau, selepas berjaya tahun lepas, pihaknya tidak mengambil mudah kejayaan akan datang lagi dan berusaha lebih keras untuk meningkatkan kemampuan jentera.

“Kejayaan merangkul dua anugerah ini merupakan kemampuan luar biasa bagi Proton. Lebih mengejutkan, jentera kita berada sama taraf dengan jentera jenama terkemuka dunia.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan kemampuan dan standard Proton dalam industri kini diiktiraf dunia permotoran antarabangsa,” katanya sambil mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jurutera tempatan yang berjaya membangunkan Pesona REEV hasil kerjasama teknikal jangka panjang dengan Frazer-Nash.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengarah Projek Hijau Proton, Datuk Zainuddin Che Din berkata, pihaknya kini turut menunggu mengenai keputusan cabaran bagi Proton Pesona REEV disebabkan terdapat masalah teknikal di pihak penganjur.

No comments:

Post a Comment