My Add

Thursday 10 November 2011

Hujahan kes liwat Anwar tangguh 8 Disember

Oleh AMIRUDDIN HARUN

KHAMIS, 10 November, 2011: Penggulungan hujah di peringkat pembelaan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan ke 8 dan 9 Disember ini atas alasan pasukan pembelaan Ketua Pembangkang itu tidak dapat menyelesaikan transkrip nota prosiding kes tersebut.

Tarikh itu ditetapkan selepas peguam-peguam, Datuk Param Cumaraswamy dan Sankara Nair yang mewakili Anwar bersama Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat menemui Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah di kamar beliau pagi tadi.

Utusan Malaysia melaporkan, Nair menerusi e-mel yang dihantar kepada pihak media hari ini menjelaskan, disebabkan gagal menyudahkan transkrip nota prosiding, pihaknya telah memohon agar tempoh untuk memfailkan hujahan bertulis mereka dilanjutkan.

Dengan kebenaran penangguhan tersebut, tarikh 23 dan 24 November yang sebelum ini ditetapkan untuk penggulungan hujah tersebut telah dilapangkan oleh mahkamah.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

JPN keluarkan TPR didakwa ada hubungan dengan Saiful Bukhari

Sementara itu menurut laporan Bernama, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Farah Azlina daripada kumpulan TPR yang terbabit menjalankan pendakwaan kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tindakan segera itu diambil bagi mengelakkan apa-apa tohmahan dan TPR terbabit telah ditempatkan di bahagian lain di Jabatan Peguam Negara.

"Jabatan Peguam Negara telah mengambil tindakan menyiasat dakwaan yang mengatakan bahawa pengadu dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari mempunyai hubungan dengan salah seorang TPR dalam kes tersebut.

"Walaubagaimanapun, dakwaan mengenai hubungan tersebut didapati tidak berasas tanpa apa-apa bukti yang kukuh," katanya dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat, hari ini. 

Karpal meminta supaya menyatakan perkembangan dalam siasatan yang dijanjikan oleh Peguam Negara dalam hubungan antara Mohd Saiful Bukhari Azlan dan TPR Farah Azlina dalam perbicaraan kes Anwar. 

No comments:

Post a Comment