My Add

Thursday 10 November 2011

Pertukaran saham MAS-AirAsia: SC semak semula data

Zarinah Anwar
KHAMIS, 10 November, 2011: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyemak semula semua data dagangan janji niaga pertukaran saham antara cabang pelaburan negara Khazanah Nasional Bhd dan Tune Air Sdn Bhd dalam Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia Bhd.

"Kami menyemak semula semua data dagangan dan kami akan membuat keputusan selepas semakan dan penentuan penemuan kami,” kata Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama beliau di Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa kelima, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau, bagaimanapun, berkata, tiada tempoh masa bagi siasatan itu, lapor Bernama.

Minggu lepas, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu Dewan Rakyat bahawa SC dan Bursa Malaysia telah membuat penyiasatan berkaitan janji niaga pertukaran saham antara MAS dan AirAsia.

Beliau berkata, siasatan itu juga akan melihat kemungkinan perdagangan orang dalam dan akan mengambil masa kerana ia melibatkan banyak akaun dan nilai yang besar.

Beliau juga berkata, sekiranya siasatan oleh SC dan Bursa Malaysia menemui bukti perdagangan orang dalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan dipanggil untuk menyiasat. 

No comments:

Post a Comment