My Add

Thursday 24 November 2011

Hujan berterusan, banjir melanda beberapa negeri

PENDUDUK Kampung Tasek, Setiu terpaksa menggunakan jentolak yang disediakan Majlis Daerah Setiu untuk keluar ke jalan besar bagi membeli barang keperluan harian di Bandar Permaisuri apabila banjir mula melanda kampung tersebut. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR, RABU. 23 November, 2011: HUJAN sekejap-sekejap dan kadang kala sederhana di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga esok dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah. 

Keadaan itu dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang di Kelantan serta di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hari ini keadaan itu juga diramal berlaku di daerah Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin di Pahang.

"Selain itu, hujan di daerah Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis dan Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi di Kedah pula dijangka berterusan sehingga malam esok," kata jabatan itu dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai 3.5 meter yang dijangka berlaku di kawasan perairan Pulau Langkawi, Perlis, utara Kedah, Pahang dan Johor timur, yang diramal berterusan hingga Selasa depan. 

Amaran itu juga dikeluarkan bagi kawasan di Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Phuket, Tioman, Bunguran, Reef South dan Palawan. 
Kawasan pantai di pantai timur Semenanjung terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga esok. 

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment