My Add

Wednesday 23 November 2011

Insiden Kampung Medan: Tujuh individu gagal tuntut ganti rugi

PUTRAJAYA, RABU, 23 November, 2011:
TUJUH penduduk kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Batu 12 Puchong, dekat sini gagal menuntut ganti rugi daripada Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan cuai memberikan perlindungan dan mengawal keadaan ketika insiden rusuhan di Kampung Medan, 10 tahun lalu.

Ia berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan R. Suresh; A. Anbalakan; V. Anbarasan; B. Janakan Pillai; P. Tamil Selbam; V. Subramaniam dan V. Muniandy.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Linton Albert memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa rayuan itu tiada merit. Mereka turut diperintah membayar kos RM10,000.

Dalam saman itu, pihak plaintif menamakan Sheikh Mustafa Sheikh Ahmad (ketika itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya), Datuk Nik Ismail Nik Yusof (ketika itu Ketua Polis Selangor), Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Perayu-perayu diwakili oleh peguam M. Manogaran manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Siti Badariah Md. Yusof. Saman itu difailkan pada 5 Mac 2004.

Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mei 2009 yang mengetepikan tuntutan saman agar mereka diberi ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment