My Add

Wednesday 9 November 2011

Jawatankuasa kerja pemulihan pesalah muda ditubuhkan

RABU, 09 November, 2011: Jawatankuasa kerja untuk mengkaji pelaksanaan sistem keadilan berasaskan pemulihan bagi pesalah muda, termasuk kanak-kanak di negara ini dijangka ditubuhkan pada Januari.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Arfan Sulaiman berkata, satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi bagi memperincikan garis panduan sistem keadilan itu.

“Garis panduan itu kemudian akan dikemukakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk diputuskan,” katanya selepas melawat Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Menurut Bernama, Shahrizat ketika melancarkan sambutan Hari Kanak-Kanak sedunia peringkat kebangsaan bulan lepas, mengumumkan cadangan penubuhan jawatankuasa kerja itu yang antara lain memberi peluang kedua kepada pesalah muda yang melakukan jenayah ringan dengan hukuman setimpal termasuk perkhidmatan komuniti selain memastikan mereka tidak ditempatkan dengan penjenayah dewasa.

Beliau berkata, jawatankuasa itu antara lain akan dianggotai pakar undang-undang, pakar kanak-kanak, ahli akademik, pakar psikologi kanak-kanak, wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

No comments:

Post a Comment