My Add

Saturday 19 November 2011

Kajian untuk tambah baik feri Menumbok-Labuan - TPM

LABUAN 19 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Labuan supaya segera melakukan kajian terperinci untuk menambah baik sistem perhubungan menggunakan feri antara Menumbok di tanah besar Sabah dan Pulau Labuan.

Beliau berkata, kajian itu penting untuk mencari jalan memendekkan tempoh perjalanan antara Menumbok ke Pulau Labuan, yang kini mengambil masa satu setengah jam, sekali gus membantu mengurangkan kos pengangkutan yang dikatakan menyumbang kepada kenaikan harga barang di Labuan terutama yang datang dari Sabah.

"Sebab itu, saya minta kementerian dan Perbadanan Labuan buat kajian yang terperinci termasuk kesesuaian daripada segi tempat dan laluan untuk “feri moden” beroperasi dari Menumbok ke Labuan.

"Kalau ini kita dapat laksanakan iaitu tempoh perjalanan feri dapat disingkatkan dan kekerapan feri berulang alik bertambah, maka kos pengangkutan akan lebih kompetitif yang akhirnya mengurangkan harga barang keperluan khususnya yang datang dari Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan serius dalam hal ini dan menegaskan bahawa kajian itu mesti dilakukan.

Beliau berkata walaupun pembinaan jambatan yang dicadangkan menghubungkan Menumbok-Pulau Labuan itu dianggap penting, namun kajian itu perlu sebagai perbandingan daripada kos memandangkan pembinaan jambatan itu menelan belanja yang agak besar yang dianggarkan lebih RM2 bilion.

Muhyiddin berkata Labuan juga berpotensi untuk menjadi “sub-hub” bagi industri minyak dan gas di rantau ini.

"Saya difahamkan sambutan terhadap ekspo minyak dan gas di sini baru-baru ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ini adalah petanda baik untuk Labuan dan dengan adanya industri minyak dan gas di sini, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment