My Add

Tuesday 8 November 2011

Karut: Agenda DAP hakis dominasi Melayu

SELASA, 08 November, 2011: Kebimbangan yang cuba dibangkitkan oleh akhbar harian Utusan Malaysia bahawa DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu adalah tidak berasas.

Menurut pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari, ini
kerana kedudukan mereka dilindungi undang-undang, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari (gambar), lapor Malaysiakini.yang dipetik Harakahdaily.

"Dalam mana-mana kes, kedudukan anggota perkhidmatan awam dilindungi oleh perlembagaan. Maka ketakutan yang cuba disemai oleh Utusan adalah karut semata-mata.

"Angota perkhidmatan awam tidak boleh dipecat dengan senang. Begitu juga dengan kenaikan pangkat mereka dan perkara sebagainya," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk laporan muka depan akhbar milik UMNO itu, semalam yang memetik ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Zulkifli Nordin sebagai berkata DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara kerana parti berkenaan tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu.

“Mereka (DAP) memang ada agenda tersembunyi menerusi hasrat tersebut dan bukanlah semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti didakwa.

“Mereka ini memang tidak boleh tengok orang Melayu lebih sedikit dalam sesuatu. Kita (Melayu) memang ramai dalam sektor awam, jadi mereka cuba untuk mengurangkan penguasaan kita dalam sektor tersebut,” kata Zulkifli (kiri) dipetik Utusan.

Akhbar itu juga memetik Senator Ezam Mohd Noor berkata, DAP bersikap rasis dan menanam kebencian terhadap orang Melayu dan asas negara.

Ahad lalu kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat juga menghentam pemimpin DAP, terutama setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan Rakyat akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.

Meskipun Abdul Aziz berkata beliau bersetuju dengan hujah-hujah yang dibangkitkan oleh Pua dan kebimbangannya mengenai perkhidmatan awam di negara ini adalah benar, namun beliau menasihatkannya supaya berhati-hati dengan isu tersebut.

"Beliau telah menimbulkan beberapa hujah yang baik tetapi beliau mesti ingat bahawa majoriti besar perkhidmatan awam yang berjumlah 1.3 juta adalah orang Melayu. Kira-kira 150,000 adalah anggota tentera dan 100,000 lagi bersama pasukan polis."

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya berkuasa, mereka perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menilai kedudukan perkhidmatan awam dan mengesyorkan langkah-langkah perlu bagi memperkukuhkannya.

Ini, katanya, dapat mengatasi beberapa masalah dalam perkhidmatan awam, seperti keberkecualian yang telah terjejas, terutamanya semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini termasuk melaksanakan sumpah setia atau Akujanji dan amalan memberi kontrak kepada pegawai atasan yang melunturkan semangat kakitangan perkhidmatan awam. Etika perkhidmatan awam tercemar kerana politi.”

Menurut Abdul Aziz, kakitangan awam perlu berkecuali kepada kerajaan yang medmerintah. Kesetian mereka hanya kepada negara dengan Yang Di-Pertuan Agong sebagai lambangnya.

"Atas sebab ini, bagi saya Akujanji adalah tidak berperlembagaan," kata Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment